fbpx

Peguam sakit gout, hujahan kes ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan sehingga Rabu penghujahan kes Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa melakukan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram kerana salah seorang peguam yang mewakili beliau diserang penyakit gout.

Peguam Hamidi Mohd. Noh memohon penangguhan kerana tidak dapat menahan kesakitan serta tidak mampu berdiri lama ketika menyampaikan hujah pembelaan pada prosiding yang berlangsung selama kira-kira 30 minit.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memaklumkan pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap permohonan penangguhan.

Terdahulu, Hamidi sempat berhujah pada prosiding yang bermula pada pukul 11 pagi sebelum meminta perbicaraan ditangguhkan seketika kerana kesakitan.

Ketika sesi penghujahan bersambung 10 minit kemudian, Hamidi memohon penangguhan kerana tidak mampu menahan kesakitan walaupun Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan beliau duduk ketika berhujah.

Bagaimanapun, peguam tersebut memohon prosiding tidak diteruskan dan disambung pada tarikh berikutnya kerana pada peringkat itu beliau sudah tidak mampu menyambung penghujahan.
Beliau turut memaklumkan mempunyai temu janji doktor pada pukul 1.30 petang.

Sebelum itu, Hamidi menghujahkan, cek-cek Yayasan Akalbudi yang dikaitkan dengan pertuduhan, bukan di bawah penguasaan Ahmad Zahid, sebaliknya di bawah penguasaan bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan.

Hujah beliau, Mazlina bukan sahaja cuai ketika menguruskan pengeluaran cek-cek yayasan itu dengan menggunakan cop tanda tangan Ahmad Zahid, malah tidak mempunyai pengetahuan berhubung penggunaan kad kredit.

Hamidi berhujah, cop tanda tangan tidak sewajarnya digunakan untuk pengeluaran cek sebaliknya digunakan untuk urusan tidak rasmi seperti menandatangani kad hari raya yang melibatkan jumlah yang banyak.

Selain itu, beliau menghujahkan, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap 12 pertuduhan pecah amanah yang dipertuduhkan ke atas Ahmad Zahid.

Hujah Hamidi, bekas Timbalan Perdana Menteri tidak melakukan pecah amanah apabila memindahkan dana Yayasan Akalbudi ke dalam akaun Tetuan Lewis & Co. kerana wang tersebut masih di bawah kawalan yayasan tersebut yang mana beliau merupakan pengasasnya.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan tersalah arah dari segi undang-undang dengan menyatakan wang milik yayasan itu dipindahkan kepada pihak lain.

Mahkamah sedang mendengar penghujahan pada akhir kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid, 68, yang dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI