fbpx

OKU, dua anak nyaris terperangkap belakang rumah runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba meninjau bahagian belakang rumah Hamzah yang tumbang akibat kejadian tanah runtuh di Kampung Kuau, Bachok petang tadi.

BACHOK – Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) dan dua orang anaknya nyaris terperangkap selepas tanah di belakang rumah mereka yang terletak berhampiran sebatang sungai runtuh dalam kejadian di Kampung Kuau di sini petang tadi.

Kejadian itu disedari oleh Hamzah Jusoh,53, yang cacat anggota badan akibat strok pada pukul 3.30 petang selepas terdengar bunyi dentuman semasa dia berada di dalam rumah bersama dua anak berusia 15 dan 19 tahun.

Hamzah berkata, kejadian itu telah menyebabkan berlaku rekahan pada bahagian dinding rumah sebelum dia bersama anak-anaknya mengambil semua dokumen penting dan keluar menyelamatkan diri.

Menurutnya, selain itu, anak-anaknya juga sempat menyelamat empat buah motosikal milik ahli keluarga yang lain daripada terjatuh ke dalam sungai semasa kejadian.

“Sebelum kejadian, saya sempat menjenguk kawasan belakang rumah selepas merasakan ada berlaku pergerakan tanah dan beberapa rekahan kecil di bahagian lantai.

“Bahagian depan rumah kami dijadikan sebagai kedai runcit terselamat dalam kejadian itu. Hanya bahagian belakang rumah sahaja yang terjejas selepas tanah berhampiran sungai runtuh,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut Hamzah, bomba menasihatkan agar tidak tinggal di rumah itu dalam tempoh tiga bulan kerana tidak selamat untuk dihuni selain siasatan lanjut akan dijalankan di lokasi tersebut.

Ujarnya, dia bersama lima orang lagi ahli keluarga kini menumpang di rumah adiknya di dalam kampung sama buat sementara waktu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Yus Heary Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.17 petang dan terus bergegas ke tempat kejadian.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI