fbpx

Dapat lampu jalan selepas tunggu 40 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRUL SHAHRIL (kiri) meninjau kerja pemasangan tiang lampu di Felcra Nasaruddin Belia, Parit semalam.

PARIT – Lebih 3,000 penduduk Felcra Nasaruddin Belia dan tiga kampung Orang Asli di sini menarik nafas lega apabila lampu jalan di kawasan mereka didirikan selepas menanti 40 tahun.

Jalan masuk sepanjang lima kilometer itu sebelum ini gelap tanpa lampu jalan hingga kerap berlaku kemalangan selain me­ngorbankan nyawa.

Ketua Peneroka Felcra Nasaruddin Belia, Ali Osman Lah Hakim berkata, banyak kemala­ngan berlaku di jalan berkenaan sejak beliau tinggal lebih 30 tahun di situ.

Katanya, kemalangan berke­naan bukan hanya melibatkan penduduk Felcra Nasaruddin Belia, malah melibatkan Orang Asli di Kampung Suak Padi, Tumbuh Hangat dan Gedung Batu.

“Saya selaku ketua peserta di sini mewakili penduduk, terma­suk di kampung Orang Asli yang menggunakan laluan ini me­ngucapkan ribuan terima kasih kepada YB Shahril (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed) yang begitu prihatin terhadap masalah ini yang berlanjutan lama.

“Saya juga mengucapkan te­rima kasih kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan masyarakat yang memberi soko­ngan padu agar kita sama-sama menjaga keadaan jalan yang ada sekarang supaya kemalangan tidak berlaku,” katanya.

Sementara itu, Khairul Shahril yang hadir menyaksikan kerja-kerja pemasangan tiang lampu di Felcra Nasaruddin Belia berkata, sebanyak 20 tiang lampu jalan didirikan sepanjang laluan lima kilometer tersebut.

Katanya, pemasangan lampu jalan tersebut merupakan kerjasama pihaknya dengan Felcra Berhad, TNB dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jalan ini bukan sekadar laluan yang digunakan oleh penduduk Felcra, tetapi ia juga digunakan oleh masyarakat Orang Asli di tiga buah kampung.

“Di samping itu, penduduk di sebelah Lambor, sebelah Padang Changkat, Kampung Gajah juga menggunakan jalan ini sebagai laluan alternatif, jalan pintas untuk ke Seri Iskandar ataupun ke Ipoh,” katanya.

Tambahnya, menerusi usahasama itu, pihaknya menanggung kos pemasangan lampu jalan bernilai RM56,000, manakala pihak Felcra akan menanggung bayaran bil bulanan sebanyak RM200. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI