fbpx

KoFI bantu industri lebih kompetitif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PESERTA menunjukkan sijil penyertaan pada majlis makan malam anjuran Finas di Kota Bharu.

PETALING JAYA – Industri perfileman berdepan saat-saat mencabar apabila negara dilanda wabak Covid-19.

Penularan wabak yang berlarutan hampir dua tahun itu juga menyebabkan industri perfileman terhenti seketika selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk tidak membenarkan sesi penggambaran dilakukan.

Tidak terhenti di situ sahaja, panggung-panggung wayang di seluruh negara juga ditutup berbulan-bulan lamanya sebelum dibenarkan untuk beroperasi semula baru-baru ini.

Justeru, sebagai persiapan untuk industri perfileman mendepani kompetitif industri kreatif secara global, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah melaksanakan Program Komuniti@FINAS (KoFI).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, objektif utama program itu bagi membuka peluang dan memupuk minat, bakat serta kemahiran belia komuniti setempat dalam industri kreatif khususnya bidang penyiaran dan perfileman.

“Melalui KoFI, kesemua peserta berpeluang untuk memohon Dana Mikro PRISMA bagi menerbitkan kandungan kreatif di platform digital.

“Ini secara langsung menyumbang kepada pengalaman mereka sebelum menceburi bidang kandungan kreatif secara lebih serius,” katanya dalam kenyataan.

ANNUAR

Annuar berkata, bagi tahun ini sahaja, Finas telah menganjurkan sebanyak 30 Program Pembangunan Modal Insan Industri Kreatif di seluruh negara bersama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, persatuan di bawah MyCAP dan syarikat berkaitan industri.

“Para peserta boleh mengikuti program secara percuma dan mereka boleh menghubungi urusetia Finas secara terus bagi proses permohonan penyertaan.

“Bagaimanapun, susulan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang berkuat kuasa bagi aktiviti latihan bengkel secara bersemuka, jumlah penyertaan bagi program ini adalah dihadkan mengikut kapasiti lokasi,” ujarnya.

Menurut beliau, program KoFI yang telah dilaksanakan di tiga negeri iaitu di Kuantan, Pahang; Kangar, Perlis dan Kota Bharu, Kelantan mendapat sambutan yang amat menggalakkan oleh komuniti masyarakat setempat.

Katanya, setiap siri KoFI telah berjaya memberi manfaat kepada 50 hingga 80 belia yang mempunyai minat untuk memperkembangkan kemahiran videografi, lakonan dan solekan kesan khas serta potensi kerjaya dalam industri kandungan kreatif.

Selain itu, Annuar berkata, inisiatif Dana Kandungan Digital (DKD) juga merupakan usaha berterusan kementerian melalui Finas dalam memastikan kelangsungan hidup para penerbit, tenaga produksi dan penggiat industri kreatif yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

“Dana yang disalurkan melalui inisiatif itu juga membuahkan pencapaian yang amat membanggakan bagi industri seni antaranya menerusi filem Sangkar yang ditayangkan pada 29 Ogos 2019 berjaya mengutip RM12 juta. Filem itu turut ditayangkan di Brunei dan Singapura.

“Selain itu, dana yang disalurkan untuk pemasaran filem Munafik 2 turut merekodkan pencapaian membanggakan apabila merangkul Anugerah Filem Box Office FFM30 pada tahun 2019 dan memperoleh kutipan sebanyak RM37.7 juta,” tambahnya.

ANNUAR (dua dari kanan) menerima cenderahati sempena lawatannya ke Finas, Petaling Jaya.

Sementara itu, Annuar memberitahu, dana tersebut terbuka kepada individu atau berkumpulan berumur 18 tahun ke atas dan warganegara Malaysia.

“Sesiapa yang berminat dan memenuhi kriteria am yang ditetapkan boleh membuat permohonan dengan syarat, pemohon adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan di Malaysia di mana lebih daripada 51 peratus pemilikan sah dan benefisial pemohon terletak hak pada warganegara Malaysia.

“Pemohon juga perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM50,000 modal syer diterbitkan dan berbayar selain syarikat itu juga harus berdaftar di bawah Finas dengan lesen aktif berikut (Pengeluaran atau Pengedaran),” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Dr. Md. Nasir Ibrahim berkata, KoFI merupakan inisiatif kementerian dan Finas yang berkonsepkan libat sama masyarakat dan komuniti belia setempat dengan sektor industri kreatif menerusi program pembangunan modal insan industri kreatif.

Beliau berkata, program itu memainkan peranan penting dalam membentuk jalinan kerjasama di antara komuniti masyarakat setempat dengan usaha Finas untuk membangunkan modal insan berkaitan industri kreatif tanah air.

“Pelaksanaan Program Pembangunan Modal Insan ini membabitkan golongan belia dan kelompok B40 dalam kalangan komuniti setempat. Justeru, ia juga membuka peluang kepada khalayak komuniti untuk mendapatkan pelbagai input berkaitan industri kreatif tempatan.

“Melalui program ini juga, komuniti dapat mengenal pasti dan memupuk minat, bakat dan kemahiran peserta di dalam industri kreatif terutamanya bidang penyiaran dan perfileman,” katanya.

Dalam pada itu, Md. Nasir berkata, Program Pembangunan Modal Insan Industri Krea­tif itu melibatkan penganjuran pelbagai bengkel dan program se­perti bengkel teknik asas lakonan, bengkel videografi YouTuber, bengkel solekan dan kesan ­khas serta sesi sembang santai ­sele­briti.

Lebih menarik, tenaga pengajar bengkel itu juga terdiri daripada penggiat industri yang berpengalaman dan berkemahiran dalam bidang industri kandungan kreatif. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI