PETALING JAYA – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka memaklumkan bahawa terdapat seorang pengundi yang positif Covid-19 telah dikesan keluar mengundi di Daerah Alor Gajah, Melaka hari ini.
Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah telah menerima notifikasi daripada Covid-19 Assessment Centre (CAC) Melekek, berhubung perkara itu.
“Terdapat seorang kes positif Covid-19 yang telah keluar mengundi di salah sebuah pusat mengundi di Daerah Alor Gajah. Keputusan ujian bagi pesakit ini diterima dari makmal swasta setelah beliau selesai proses mengundi.
“Pesakit ini bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang gejala pada waktu mengundi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Dr. Rusdi, PKD Alor Gajah telah mengambil tindakan segera mengarahkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi terlibat menutup sementara kawasan berisiko termasuk saluran mengundi untuk proses disinfeksi menyeluruh.- K! ONLINE