fbpx

UiTM, UMT tingkat kerjasama penyelidikan sejarah Kesultanan Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Roziah (dua kiri) dan Mazlan (dua kanan) menunjukkan MoU yang ditandatangani kedua-dua universiti di UiTM Shah Alam, hari ini. Turut hadir Shamrahayu (kiri).

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) menerusi Kursi Institusi Raja-Raja Melayu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dalam usaha mempertingkatkan kerjasama dalam bidang teknologi dan penyelidikan berkaitan sejarah Kesultanan Melayu dan agama Islam.

MoU selama tiga tahun itu merupakan inisiatif kesinambungan antara Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM dengan Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Prof. Datuk Shamrahayu Ab. Aziz berkata, UiTM merupakan satu-satunya universiti yang mempunyai Kursi Institusi Raja-Raja Melayu dan ini adalah salah satu inisiatif bagi universiti menyampaikan hasrat bahawa Institusi Raja-Raja Melayu wajib dijaga dan disuburkan.

“Kita tahu dalam keadaan semasa, ketidakstabilan politik itu telah memberikan kepercayaan lebih tinggi masyarakat Malaysia kepada institusi beraja sebagai mekanisma untuk menyeimbang dari segi kestabilan politik, perpaduan dan hubungan etnik.

“Jadi saya fikir, ini masa terbaik untuk UiTM berhubung dengan universiti lain dan berkongsi kepakaran dan kita juga bercadang untuk menubuhkan galeri berkaitan institusi beraja yang telah disemarakkan oleh UMT melalui Pusat Islam Sultan Mahmud,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani MoU antara UiTM dengan UMT di sini hari ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Roziah Mohd. Janor dan Naib Canselor UMT, Prof. Mazlan Abd. Ghaffar.

Terdahulu, Roziah dalam ucapannya memberitahu, kolaboratif antara UiTM dengan UMT membolehkan warga kedua-dua universiti mendapat kelebihan daripada perkongsian ilmu dan rujukan dalam bidang teknologi berkaitan sejarah, budaya, adat resam, agama Islam dan sejarah kesultanan Melayu.

“UiTM sentiasa yakin melalui kerjasama seperti ini, pemindahan ilmu dan penerapan nilai-nilai murni yang berterusan akan melahirkan graduan profesional yang cemerlang,” ujarnya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI