fbpx
MIFZAL bersama peranti yang digunakan untuk melaksanakan pengajaran secara online menerusi platform Afterkelas diasaskannya.

Tuisyen mahasiswa cemerlang bantu ramai skor A

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PLATFORM Afterkelas.com yang meraih tempat pertama pertandingan MaGIC University Startup Challenge 2021 Impact Driven Track anjuran Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) ini bersifat serampang dua mata.

Ia membolehkan mahasiswa bekas pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membantu membimbing pelajar sekolah yang bakal menduduki peperiksaan berkenaan, selain dapat menjana pendapatan sampingan di universiti.

Platform itu menjadi medium pertemuan antara mahasiswa yang ingin menjana pendapatan sampingan dengan para pelajar sekolah menengah yang dahagakan ilmu. Sejak ditubuhkan pada tahun lalu, Afterkelas berjaya merekrut seramai 21 tutor terdiri daripada pelajar cemerlang SPM yang telah memperoleh semua A.

——————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————–

 

SEWAKTU menuntut di tingkatan lima lagi, Muhammad Waiz Wafiq Mohamad Jafri, 20, sudah berjinak-jinak menjadi ‘guru’ kepada beberapa rakan sekelasnya. Muhammad Waiz Wafiq membantu memberikan tunjuk ajar kepada rakan-rakan yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersamanya bagi dua subjek iaitu Matematik Tambahan dan Fizik.

Dia yang juga merupakan salah seorang pelajar cemerlang di sekolahnya tidak mengharapkan sebarang gajaran, sebaliknya mengajar atas dasar minat selain mahu membantu pelajar lain berjaya.

Ternyata usaha murni pemuda berasal dari Kuala Terengganu itu membolehkannya meraih keputusan 9A, manakala rakan-rakan yang diajarnya turut cemerlang dalam SPM.

Rentetan itu, dia telah mendapat tawaran menjadi guru tuisyen sambilan kepada pelajar di asrama sekolahnya selain tutor peribadi kepada anak-anak guru.

KELIHATAN beberapa pelajar SPM sedang mengikuti tuisyen yang diajar oleh Mifzal menerusi online.

Bagaimanapun, ia bertahan selama beberapa bulan sahaja sebelum Muhammad Waiz Wafiq perlu melanjutkan pengajian di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM), Kuala Lumpur.

Selama setahun lelaki itu memendam minat menjadi ‘guru’ sebelum bertemu rakan sekuliahnya yang menawarkan peluang menjadi tutor menerusi platform Afterkelas.com (Afterkelas).

Afterkelas merupakan sebuah platform pembelajaran online yang menghubungkan tutor berpencapaian tinggi dalam kalangan mahasiswa dengan pelajar sekolah menengah terutamanya mereka yang bakal menduduki SPM.

Peluang tersebut dimanfaatkan sepenuhnya lelaki tinggi lampai itu memandangkan minat mendalamnya untuk mengajar di samping menjana pendapatan sampingan.

“Sejak di bangku sekolah menengah lagi saya memang suka mengajar rakan-rakan. Tetapi selepas masuk UM, minat itu terhenti disebabkan kesukaran mendapatkan pelajar.

“Selepas tahu adanya platform ini, ia memudahkan saya mendapatkan pelajar SPM. Saya boleh mengajar mereka secara online sahaja,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Afterkelas menawarkan kelas secara berseorangan atau berkumpulan kepada pelajar bagi lima subjek utama iaitu Matematik, Matematik Tambahan, Kimia, Fizik dan Biologi.

Menariknya, setiap kelas berlangsung secara online menerusi platform Zoom menggunakan modul pembelajaran yang dibuat sendiri oleh tutor.

Muhammad Waiz Wafiq memaklumkan, menerusi platform berkenaan, dia berpeluang menjana pendapatan sampingan sekitar RM1,200 sebulan dengan hanya 10 jam kelas.

MIFZAL (kiri) semasa membentangkan mengenai Afterkelas dalam pertandingan kelolaan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) baru-baru ini.

Jelas pelajar jurusan Sains Komputer itu, pendapatan tersebut digunakan bagi membayar bil utiliti rumah keluarganya serta menampung perbelanjaannya di UM.

“Saya dua beradik sahaja. Seorang lagi abang, dia juga penuntut UM. Jadi, saya perlu bekerja bagi menampung perbelanjaan keluarga memandangkan ibu bapa tidak bekerja kerana faktor umur. Mujur ada platform ini, jadi saya dapat menjana pendapatan dengan melakukan kerja diminati. Kalau tidak, mungkin saya terpaksa jadi penghantar makanan,” jelasnya lagi.

Seorang lagi tutor Afterkelas, Muna Izzah Md. Afrizal, 20, berkata, dia yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perubatan UM menjadi tutor peribadi kepada seorang pelajar dalam subjek Matematik Tambahan dan Kimia.

Selepas beberapa bulan menjadi tutor, Muna dapati pelajarnya mula menunjukkan perkembangan positif dalam keputusan peperiksaan.

“Buat masa ini, saya hanya ada seorang pelajar memandangkan jadual pengajian agak sibuk. Namun, itu tidak menghalang niat saya untuk berbakti kepada anak bangsa. Saya dapati, para pelajar ini lebih mudah faham dan mesra jika diajar oleh tutor yang umurnya hampir sebaya berbanding guru di sekolah.
Guru ini mereka rasa takut untuk bertanya disebabkan perbezaan umur,” jelas bekas pelajar terbaik SPM negeri Selangor itu.

Sementara itu, pengasas Afterkelas, Mifzal Salihin, 20, berkata, platform tersebut bersifat serampang dua mata iaitu memberi manfaat kepada mahasiswa serta pelajar.

Menurutnya, platform itu menjadi medium pertemuan antara mahasiswa yang ingin menjana pendapatan sampingan dengan para pelajar sekolah menengah yang dahagakan ilmu.

“Sejak ditubuhkan pada tahun lalu, Afterkelas berjaya merekrut seramai 21 tutor terdiri daripada pelajar cemerlang SPM yang telah memperoleh semua A.

PLATFORM itu turut menawarkan modul-modul pembelajaran yang dibuat oleh tutor-tutor berkenaan yang pernah bergelar pelajar cemerlang SPM.

“Kebanyakan mereka berjaya menjana pendapatan sampingan antara RM200 sehingga RM1,200 sebulan bergantung kepada jumlah kelas,” katanya.

Mifzal berkata, sehingga kini, kami telah membantu lebih 1,500 pelajar dari seluruh negara sebagai persediaan menghadapi SPM.

Jelasnya, tugas utama mereka adalah menurunkan ilmu kepada para pelajar yang bakal menduduki SPM sekali gus menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.

“Setiap tutor dalam platform Afterkelas diwajibkan menjalani kursus khas selama enam minggu bagi meningkatkan kemahiran mengajar.

“Lepas habis kursus, tutor ini dibenarkan mengambil sebanyak mungkin kelas mengajar bergantung kepada masa lapang mereka di universiti,” ujarnya.

Selain khidmat tutor, Afterkelas juga menjual modul-modul pembelajaran subjek Fizik, Kimia, Matematik, Biologi dan Matematik Tambahan bagi tingkatan empat dan lima.

Bercerita mengenai idea penubuhan Afterkelas, Mifzal memberitahu, segalanya bermula selepas melihat kesusahan dan kepayahan dialami sebahagian rakannya di universiti.

Katanya, terdapat rakannya terpaksa bekerja pada sebelah malam dan hujung minggu untuk menampung perbelanjaan harian sedangkan mereka terdiri daripada pelajar pintar.

“Sebelum ini, saya memang ada buat kelas tutor dari rumah ke rumah. Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, saya terpaksa ubah modus operandi secara online. Suatu hari itu, saya ada buat kelas terbuka secara online dan ramai yang sertai. Selepas itu, ramai minta adakan kelas tutor peribadi.

“Disebabkan permintaan terlalu tinggi, saya mengajak rakan-rakan di UM yang pandai tetapi ada masalah kewangan untuk turut serta menjadi tutor dalam Afterkelas,” ujarnya.

UNIVERSITI Malaya sememangnya dikenali di negara ini sebagai sebuah universiti yang menghimpunkan pelajar-pelajar cemerlang.–GAMBAR HIASAN

Harga yuran bagi tutor peribadi adalah RM80 sejam, manakala kelas berkumpulan bermula RM60 untuk satu subjek. Afterkelas juga menawarkan video pembelajaran pada harga serendah RM30 bagi setiap subjek.

Antara pencapaian yang telah diraih oleh Afterkelas adalah mendapat tempat pertama pada pertandingan MaGIC University Startup Challenge 2021 Impact Driven Track.

Pada masa sama, Afterkelas telah mengadakan kempen dana khalayak umum dalam platform PitchIN.com dan berjaya mendapat sebanyak RM16,225.

“Dana ini akan digunakan untuk inisiatif yang telah dirancang iaitu untuk mewujudkan sebuah makmal digital lightboard dan hybrid classroom,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN