fbpx

Lagu jadi bahan rujukan SPM, Yonnyboii rasa macam mimpi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lirik lagu Sakit ciptaan Yonnyboii dan Zynakal dijadikan rujukan model kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

PETALING JAYA – Berbangga apabila lagu ciptaannya, Sakit dijadikan bahan rujukan kertas model peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), penyanyi Yonnyboii seakan-akan tidak percaya perkara tersebut berlaku dalam kerjaya seninya.

Yonnyboii atau nama lengkapnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, 23, berkata, menjadi satu daripada impiannya untuk melihat karya muziknya dihargai masyarakat namun tidak pernah terfikir sampai tahap menjadi bahan atau rujukan soalan peperiksaan bertaraf kebangsaan.

“Saya ada tengok post (hantaran itu) dalam media sosial dan sudah tentu saya rasa bangga. Tak pasti untuk subjek atau mata pelajaran apa tapi rasa macam mimpi jadi kenyataan.

“Dulu waktu di bangku sekolah, saya selalu terfikir kalau suatu hari nanti, saya nak tulis lagu yang boleh buat orang nyanyi di perhimpunan pagi di sekolah atau di kem-kem motivasi.

“Sekarang, lagu saya ada dalam kertas soalan model SPM. Bukan nak terlebih bangga atau riak tapi ini juga bukti, kalau kita buat apa yang kita suka dalam hidup, pasti ada ganjaran atau kejayaan menanti di hujungnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Biarpun lagu Sakit gagal mara ke Anugerah Juara Lagu ke-35 tahun lalu, ternyata naskhah berkisar kesihatan mental yang didendangkan bersama dengan rakan seperjuangan Zynakal mempunyai nilai tersendiri pada mata masyarakat.

“Orang jadikan  lagu tulisan kita bahan model SPM untuk dikaji atau dijawab para pelajar, maknanya di situ ada harga dan ada nilai tersembunyi dalam lagu.

“Pada masa sama, disebabkan lagu Sakit tentang kesihatan mental, situasi yang berlaku itu, secara tidak langsung, mendorong orang terutama golongan pelajar lebih cakna tentang kesihatan mental mereka,” katanya lagi.

Lagu Sakit yang merupakan ciptaan Yonnyboii dan Zynakal merupakan antara lagu popular sepanjang tahun 2020 sekaligus memperkenalkan nama penyanyi muda itu dalam arus perdana seni muzik tanah air.

Terdahulu, sekeping foto tular dalam Instagram apabila lirik lagu Sakit dijadikan rujukan kertas modul SPM yang dimuat naik akaun Instagram, @malaysianhustler. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI