fbpx

Hee-chul jadi diri sendiri dalam New World

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hee-Chul

PETALING JAYA – Demi terlibat dalam program hiburan terbaharu, terbitan Netflix iaitu New World, selebriti popular Korea Selatan, Kim Hee-chul buat pertama kalinya bersetuju untuk menjalani penggambaran di luar studio.

Anggota kumpulan Super Junior itu menjelaskan, sepanjang lima tahun aktif sebagai pengacara program hiburan, New World merupakan program pertamanya yang menjalani penggambaran di luar studio sepenuhnya.

“Sebelum ini semua program kendalian saya menjalani rakaman di dalam studio. Oleh itu, saya sudah selesa dengan penghawa dingin, skrip dan tetamu undangan yang hadir.

“Jika saya di jemput menjadi tetamu untuk program hiburan, biasanya rakaman juga dilakukan di studio. Jadi, ini kali pertama saya terlibat dalam penggambaran di luar studio sepenuhnya.

“Saya sangat kagum dengan mereka yang selalu menjalani penggambaran di luar studio, mungkin sebab ini pengalaman pertama, saya dapat merasakan adrenalin dalam diri.

“Namun, saya tidak mahu selalu terlibat dalam program di luar studio, memadailah sekali dalam tempoh lima tahun,” ujarnya dalam sidang media yang berlangsung secara virtual dari Korea Selatan semalam.

Sungguhpun begitu, terlibat dalam sebuah program terbitan Netflix memberi makna yang besar buat Hee-chul.

“Berbeza dengan program hiburan yang ditayangkan di televisyen yang mempunyai banyak sekatan dan peraturan, program dalam Netflix memberi saya lebih kebebasan,”terangnya lagi.

Berbicara tentang New World kata Hee-chul, program yang menjalani penggambaran selama enam hari di sebuah pulau itu cukup berbeza kerana tidak mempunyai skrip.

“Selain semua orang memberi kejutan dengan sisi berbeza mereka daripada apa yang kita selalu lihat di televisyen, program ini langsung tidak mempunyai skrip.

“Saya akui sukar untuk menyesuaikan diri kerana sudah terbiasa dengan program yang memiliki skrip, namun semua orang menjadi diri sendiri dan akhirnya saya faham kenapa skrip tidak diperlukan,” tutur Hee-chul.

New World tampil dengan format berbeza daripada rancangan hiburan yang pernah diterbitkan sebelum ini. Bertempat di sebuah pulau fantasi, enam selebriti akan bermain pelbagai permainan yang akan menggugat persahabatan mereka.

Malah, mereka juga harus menyelesaikan pelbagai misi dan mengumpul wang yang akan ditukarkan dengan matawang sebenar apabila mereka meninggalkan pulau tersebut.

Selain Hee-chul, program New World yang akan mula bersiaran di Netflix pada 20 November ini turut dibintangi oleh Lee Seung-gi, Kai EXO, Park Na-rae, Jo Bo-ah dan Eun Ji-won. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI