fbpx

Skuad hoki remaja bawa semangat pejuang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PRESIDEN MHC, Datuk Seri Subahan Kamal (belakang, lapan dari kanan) bersama pengurusan tertinggi MHC hadir memberikan motivasi kepada skuad negara di KLIA semalam. - MHC

KUALA LUMPUR – Barisan pemain skuad hoki remaja lelaki negara tetap tidak patah semangat untuk memberikan prestasi terbaik pada Piala Dunia Hoki Remaja 2021 bermula 24 November ini meskipun terpaksa menempuhi perjalanan panjang selama 46 jam ke Bhubaneswar, India.

Difahamkan, skuad muda negara terpaksa menghabiskan masa yang lama untuk dua transit bermula 14 jam di Doha dan 18 jam di Chennai sebelum tiba di Bhubaneswar yang merupakan venue kejohanan berprestij dunia tersebut.

Bagaimanapun, pengurus pasukan, I.Vikneswaran tidak mahu menganggapnya sebagai alasan kerana percaya anak-anak buahnya mempunyai kekuatan mental yang tinggi untuk mengharungi cabaran tersebut.

“Ini adalah laluan terbaik yang kita boleh dapat disebabkan situasi pandemik Covid-19. Pasukan terpaksa mengambil perjalanan ini yang tidak dapat dielakkan.

“Perjalanan panjang sememangnya memainkan peranan tetapi kita tiada pilihan. Kita tak boleh nak salahkan sesiapa.

“Namun, mood pemain sentiasa positif. Pemain-pemain ini baka lain sedikit, mereka semua mempunyai semangat pejuang dan berani untuk ambil cabaran,” katanya.

Pada saingan kali ini, Young Tigers yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, diundi dalam Kumpulan A bersama naib juara edisi 2016, Belgium, Chile dan Afrika Selatan.

Situasi itu tidak menggentarkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang tetap menyasarkan skuad bimbingan Wallace Tan tersebut untuk muncul dua pasukan terbaik Kumpulan A sekali gus mara ke peringkat suku akhir.

Bagi Vikneswaran, beliau optimis anak-anak buahnya mampu menghadapi cabaran tiga lawan tersebut selepas menimba pengalaman berharga daripada Siri Jelajah United Kingdom (UK) yang diatur MHC sebelum ini.

“Pasukan kita tiada rehat dan sentiasa berlatih selepas pulang daripada UK. Kita ambil iktibar dan pengajaran untuk kita sentiasa perbaiki percaturan di atas padang nanti.

“Generasi pemain sekarang berlainan dan memiliki eleman yang bagus buat pasukan. Mereka berani dan tak takut untuk menentang mana-mana lawan selain mempunyai karakter serta sikap yang baik buat pasukan,” jelas Vikneswaran. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI