fbpx

Lelaki maut jatuh bangunan parkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
A.A Anbalagan.

SERDANG – Seorang lelaki ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah selepas dipercayai jatuh dari bangunan parkir di sebuah pusat beli-belah di Bandar Puchong Jaya, Puchong di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian kira-kira pukul 1.55 pagi oleh seorang pegawai polis bantuan yang bertugas di pusat beli-belah berkenaan.

“Pemeriksaan di tempat kejadian telah menemui seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun terbaring di atas permukaan jalan dengan berlumuran darah di muka serta kepalanya yang kemudiannya disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai kesihatan di lokasi.

“Siasatan lanjut mendapati, mangsa dipercayai telah terjun dari bangunan parkir di situ pada ketinggian dianggarkan lebih kurang 15 meter,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Anbalagan, anggota bertugas kemudiannya pergi ke kawasan parkir di atas dan telah menemui sebuah kereta jenis Perodua Bezza dipercayai milik mangsa yang masih bujang dan menetap di Taman Kinrara di sini.

“Kereta tersebut ditemui dalam keadaan berkunci dan pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang unsur jenayah di tempat kejadian.

“Mayat telah dibawa ke Hospital Serdang bagi tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR),” ujar beliau.

Anbalagan menambah, orang ramai disaran untuk mendapatkan nasihat kaunseling atau bantuan pakar sekiranya mempunyai sebarang masalah peribadi atau tekanan emosi.

“Dapatkan nasihat atau berbincang dalam mencari penyelesaian kepada sesuatu isu tanpa perlu mengambil apa-apa tindakan drastik seperti membunuh diri,” pesan beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI