fbpx

132 menara komunikasi dalam pembinaan di Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazlan (kiri) meninjau booth pameran unifi selepas taklimat penerangan Liputan Internet dan Telekomunikasi Negeri Johor di Auditorium RTM, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 132 buah menara komunikasi baharu kini dalam proses pembinaan khususnya di kawasan luar bandar di seluruh negeri ini di bawah Fasa 1 Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Ketua Bahagian Infrastruktur Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bukhari Yahya berkata, penyediaan menara komunikasi baharu itu membabitkan di kesemua 10 daerah di Johor.

Katanya, dalam pelaksanaan di bawah Fasa 1 Pelan Jendela, sebanyak 101 menara komunikasi telah siap dibina sehingga Jun tahun lalu.

“Bagi peluasan liputan jalur lebar mudah alih di negeri Johor, Fasa 1 Pelan Jendela yang bermula pada tahun lalu menyasarkan untuk membina sebanyak 233 buah menara telekomunikasi.

“Daripada jumlah itu, 101 daripadanya telah siap dibina sehingga Jun lalu manakala selebihnya dalam proses pelaksanaannya.

“Selain itu, sejumlah 3,409 alat pemancar sedia ada akan dinaik taraf kepada perkhidmatan 4G dan 2,877 daripadanya telah pun selesai dinaik taraf sehingga Jun lalu,” katanya pada Taklimat Penerangan Liputan Internet dan Telekomunikasi Negeri Johor di Auditorium RTM, di sini hari ini.

Bukhari memberitahu, Johor adalah antara negeri yang mempunyai capaian internet yang tinggi dan mendapat liputan yang meluas.

Katanya, capaian liputan mudah alih 4G di kawasan berpendudukan di negeri ini mencapai 98 peratus setakat suku ketiga tahun ini.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI