PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan pembelian PlayStation 5 (PS5) membabitkan lebih 200 peminat tegar alat permainan konsol popular itu kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan penahanan suspek bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Saya sahkan, suspek seorang lelaki berusia 23 tahun telah berjaya ditangkap polis semalam (kelmarin) di Pulau Pinang,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, difahamkan, lelaki berkenaan ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di George Town kira-kira pukul 12 tengah hari kelmarin.
Suspek direman selama dua hari sehingga hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.
Menerusi penahanan itu, pihak polis merampas sebuah telefon bimbit, kad sim dan kad bank suspek bagi siasatan lanjut kes tersebut.
Berita berkaitan: Suspek PS5 dalam radar Bukit Aman
Berita berkaitan: ‘Kaki game’ tegar PS5 berputih mata
Kosmo! sebelum ini mendedahkan lebih 200 peminat tegar PS5 naik berang apabila tempahan alat permainan konsol itu dengan nilai keseluruhan hampir jutaan ringgit daripada seorang lelaki sejak beberapa bulan lalu masih gagal dipenuhi.
Malah, cubaan ‘kaki game’ terlibat untuk mendapatkan semula wang daripada si ‘wakil penjual’ juga gagal apabila lelaki itu tidak berbuat demikian, sebaliknya terus berjanji untuk segera menyelesaikan masalah berkenaan.
Lelaki itu dikatakan berjaya menarik ramai pembeli selepas menggunakan nama beberapa individu popular seperti instafamous serta atlet sukan yang telah membeli PS5 daripadanya dan menerima alat permainan itu dalam tempoh singkat.
Difahamkan, lelaki terbabit menjual PS5 pada harga yang lebih mahal kira-kira RM500 berbanding pasaran, namun pembeli dikatakan mampu memperoleh gajet itu dengan lebih cepat.
Sebelum ini, polis mengesahkan telah menerima 26 laporan daripada mangsa yang dipercayai terperdaya melibatkan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM99,468.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan sebatan juga denda.














