fbpx

Kita sibuk gilakan budaya orang luar – Zizan Razak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZIZAN RAZAK

INDUSTRI perfileman tanah air disifatkan sedikit ketinggalan berbanding negara-negara yang sudah jauh maju ke hadapan dalam bidang tersebut.

Perkara tersebut diakui Zizan Razak dan menurutnya, banyak ruang yang boleh diperbaiki.

Lihat sahaja fenomena ciptaan Korea Selatan seperti Squid Game yang kini merupakan siri nombor satu dalam laman penstriman, Netflix.

Atas dasar keprihatinan sebagai seorang pemain seni, Zizan berpendapat, perlu ada kemajuan dari segi idea agar seni perfileman tempatan dapat terus menuju ke hadapan.

Kata pemilik nama lengkap Muhammad Razizan Abdul Razak itu, Malaysia bukan kekurangan idea untuk menghasilkan filem-filem yang berkualiti tetapi dari segi pelaksanaan, masih banyak perihal yang perlu diperbaiki.

ZIZAN percaya, dunia perfileman tanah air mempunyai ruang dan peluang untuk terus maju andai para pelakunya terus berusaha melahirkan karya berkualiti dari semasa ke semasa. – ASTRO

‘Mereka tengok kandungan kita’

“Kalau tanya sama ada saya risau orang tak pergi ke panggung wayang sejak kebelakangan ini, jawapan saya, tidak. Saya lebih risau kalau orang kita tak buat kandungan berkualiti.

“Kita tak boleh ikut kandungan (siri atau filem) macam Amerika Syarikat atau Korea Selatan. Mereka yang kena tengok kita punya, sebab banyak lagi perkara menarik tentang orang kita tetapi tidak ditonjolkan di mata dunia.

“Sebagai contoh, Thailand terkenal di Hollywood dengan filem Ong Bak dan cerita-cerita hantu mereka. Filem-filem mereka memang meletup sebab bawa sekali budaya,” katanya usai sidang akhbar mengumumkan kerjasama antara Astro dan Netflix di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor.

Ujar Zizan yang cukup dikenali menerusi filem Abang Long Fadil, negara-negara yang hebat dalam dunia perfileman bukan sekadar menjual karya tetapi turut menyuntik budaya dalam kerja mereka.

“Contohnya, Squid Game. Lihat bagaimana orang Korea Selatan mengangkat budaya mereka dan berbangga dengan apa yang dimiliki. Mereka memasukkan nilai kehidupan melalui seni bernama filem.

“Tengok filem Parasite. Mereka mengetengahkan kehidupan yang kita sendiri tak perasan pun wujud dalam dunia ini. Kita tonton filem mereka dan rasa terkejut dengan apa yang diketengahkan,” tutur Zizan, 37.

Budaya

Bukan ingin terlalu memandang tinggi karya filem negara luar, namun bagi Zizan, pemain industri perlu berpijak di bumi yang nyata.

Katanya, usah terlalu terkejar-kejar dengan teknologi yang dipaparkan (dalam filem) sebaliknya letakkan apresiasi untuk jalan cerita dan representasi budaya.

“Kita ada Mak Yong, wayang kulit dan silat. Banyak lagi perkara-perkara yang mencerminkan budaya kita termasuk makanan tradisional seperti budu, belacan dan sebagainya.

“Cuma masalahnya sekarang, kita tidak berupaya ketengahkan semua itu. Kita sibuk gilakan budaya orang luar. Contohnya kimchi. Sedangkan saya rasa, banyak perkara unik yang boleh dikongsikan dengan dunia luar tentang Malaysia,” getus Zizan.

KATA Zizan, dia mahu meneroka banyak perkara dalam dunia perfileman yang belum sempat dilakukannya meskipun sudah hampir 15 tahun berkecimpung sebagai anak seni.

Melanjutkan bicara, pelawak dan pelakon yang sudah melalui sepak terajang dunia hiburan selama hampir 15 tahun itu memaklumkan, dia tidak terlalu memikirkan tentang keberadaan atau relevansi dirinya dalam dunia seni.

Menurutnya, apa yang paling mustahak adalah dapat meneruskan langkah dalam cabang seni dengan meninggalkan ilmu buat generasi baharu.

“Tak kisah tentang nombor. Sama ada filem lakonan saya nombor satu atau tidak, itu bukan apa yang saya kisahkan.

“Apa yang saya gusarkan sekarang, tiada idea untuk mendidik masyarakat, generasi baharu atau mereka yang tonton karya-karya lakonan saya,” ujarnya.

Bisnes makanan

Diajak berbicara tentang budaya orang kita yang segelintirnya bersifat skeptikal terhadap karya tempatan, Zizan berkata, penonton tidak bersalah dalam hal tersebut selagi usaha untuk membikin filem berkualiti bergerak perlahan.

“Tak boleh salahkan penonton. Mereka berhak memilih. Saya bagi contoh, sesetengah orang suka menggayakan pakaian berjenama mewah seperti Gucci dan ada juga yang gemar dengan jenama biasa. Konsepnya begitu.

“Kalau hidangan yang diberi kepada pelanggan tidak menepati cita rasa, mereka berhak beralih ke kedai makanan lain. Justeru, kalau nak orang kita tonton filem tempatan, perlulah datang dengan sesuatu yang ‘sedap’,” katanya.

MENGUSAHAKAN restoran makanan Korea, Zizan memaklumkan, dia bukan hanya memikirkan soal keuntungan semata-mata tetapi turut prihatin dengan membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai disebabkan pandemik Covid-19.

Ditebak perkembangan seni terkini, selain bakal muncul dengan beberapa buah filem terbaharu seperti Rumah Maduku Berhantu dan Abang Long Fadil 3, Zizan juga sedang sibuk mengusahakan bisnes restoran K-Town Korean BBQ Grill House yang terletak di Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Tidak memikirkan soal keuntungan semata-mata, dia sedar risiko yang terpaksa dihadapi pada waktu yang tidak menentu sekarang disebabkan pandemik Covid-19.

“Buka kedai makanan Korea sebab banyak permintaan di kawasan itu. Tiga tahun proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk restoran ini (dari segi masakan).

“Saya faham ramai yang akan tanya kenapa buka restoran pada musim pandemik. Tak mengapa, kita usahakan apa yang mampu. Kalau tak boleh makan di restoran, kita buat servis penghantaran,” kata Zizan menggulung bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI