fbpx

Pfizer, Bumitra pacu kesedaran cegah pneumokokal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy (tengah) pada majlis menandatangani MoU antara Harun (kiri, duduk) bersama Thangpaibool (kiri, atas secara maya) di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Pfizer Malaysia dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam usaha menggalakkan pengambilan vaksin bagi mencegah penyakit pneumokokal dalam kalangan jemaah haji dan umrah.

Menerusi MoU tersebut, satu kempen kesedaran mengenai penyakit pneumokokal akan dilaksanakan di laman Facebook Bumitra Malaysia.

Laman berkenaan akan menjadi platform utama untuk menyampaikan maklumat tentang pneumonia pneumokokal dalam pelbagai format termasuk komik, poster dan info grafik yang boleh dimuat turun.

Turut dibangunkan adalah  video animasi bertujuan mencetus inspirasi kepada semua jemaah bagi menentukan tahap kesihatan mereka berada pada tahap terbaik dan mencapai pencegahan penyakit menerusi pemvaksinan.

Presiden Bumitra Malaysia, Harun KC Ahmmu berkata, penyakit pneumokokal adalah faktor utama kemasukan ke hospital dalam kalangan jemaah haji dan umrah.

Harun

“Kami sentiasa cuba untuk memastikan tahap kesihatan jemaah berada pada keadaan terbaik sewaktu mengerjakan haji atau umrah dan pengambilan vaksin boleh membantu perkara ini.

“Selain kemasukan ke hospital dan gangguan semasa menunaikan ibadah, psakit juga berisiko menjangkiti ahli keluarga serta kenalan terdekat yang memiliki sistem imun yang lemah seperti bayi dan warga emas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani MoU berkenaan di sini semalam, yang turut disaksikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Pengurus Pfizer Malaysia dan Brunei, Luksanawan Thangpaibool.

Pemvaksinan disyorkan bagi mencegah penyakit pneumokokal terutama mereka yang merokok, berusia 65 tahun dan ke atas, atau mengalami masalah kesihatan seperti penyakit paru-paru obstruktif kronik, asma, penyakit jantung dan kencing manis.

Bumitra Malaysia kini menaungi hampir 600 syarikat agensi pelancongan berstatus bumiputera termasuk dari Malaysia Timur dan bertindak sebagai badan penghubung antara kerajaan dengan pemain industri.

Sementara itu, Thangpaibool dalam ucapannya menjelaskan, usaha pemvaksinan berterusan ialah teras utama dalam penjagaan kesihatan masyarakat kerana vaksin adalah antara cara terbaik untuk melindungi diri daripada pelbagai penyakit berjangkit.

“Selama lebih dari satu abad, vaksin telah membantu melindungi jutaan orang daripada penyakit yang mengancam nyawa seperti pneumokokal.

“Dengan kerjasama penyedia penjagaan kesihatan, pengokong pesakit, organisasi profesional dan pembuat dasar, kami berusaha memperluaskan lingkungan perlindungan vaksinasi sebaik mungkin,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI