JAKARTA – Pelakon juga model popular kelahiran Malaysia yang mencipta nama di, Indonesia, Miller Khan menamatkan zaman bujang dengan kekasihnya, Farina Rebecca di sebuah hotel di Bali, semalam.
Berita gembira tersebut dikongsikan sendiri oleh Miller yang juga abang kepada pelakon, Isa Khan dalam Instagram miliknya.
Dalam perkongsian tersebut, kelihatan Farina menggayakan busana pengantin berupaya kebaya putih lengkap dengan tudung berwarna senada. Manakala Miller pula dilihat memakai sut berona hitam dengan padanan merah.
Menurut laporan detik.com, Miller tekad untuk memperisterikan Farina hanya selepas lapan bulan menjalin percintaan.
“Ada beberapa sifat Farina yang membuatkan saya jatuh cinta padanya. Dia sangat jujur dan manis. Setiap kali melihat matanya, saya akan jatuh cinta,” puji pelakon berusia 34 tahun itu.
Kata pelakon yang pernah membintangi filem Sepet arahan Allahyarham Yasmin Ahmad itu lagi, dia merasakan dirinya dan juga Farina sudah cukup matang dan dewasa untuk menjadi pasangan suami isteri.
Sementara itu, menjengah dalam Instagram milik adiknya iaitu Isa Khan, lelaki itu turut memuat naik gambar perkahiwnan abang serta kakak iparnya berserta ucapan ringkas.
“Alhamdulillah akhirnya abang saya berkahwin. Tahniah abang. Tahniah kepada abang saya. Semoga Tuhan memberkati perkahwinan abang dan isteri. Amin,” ucap Isa.
Miller atau nama lengkapnya Mohammad Suhaemi Ali Dad Khan mula mencipta nama selepas membintangi iklan Petronas sempena Hari Kebangsaan 2003 berjudul Becha Param juga arahan Yasmin Ahmad ketika berusia 16 tahun.
Kemudian Miller mengambil keputusan untuk berhijrah ke Indonesia pada tahun 2007 ketika berusia 20 tahun.
Peluang pelakon tampan itu untuk mencipta nama sangat mudah apabila dia ditawarkan untuk membintangi iklan mi segera bersama pelakon terkenal, Luna Maya. Namanya semakin popular selepas membintangi dua buah filem iaitu Bukan Bintang Biasa dan Cintapuccino pada 2007.
Pada majlis Asian Academy Creative Awards (AACA) 2020, Miller mencipta kejayaan peribadi apabila memenangi trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menewaskan nama hebat dari Asia lain menerusi karya berjudul The Bridge 2. – K! ONLINE