KUALA LUMPUR – Penyanyi Adam AF tidak pernah menutup pintu hati untuk mengenali hati budi wanita biarpun sudah lima tahun hidup menduda.
Katanya, perceraian bukan noktah kehidupan atau meninggalkan trauma berpanjangan seperti tanggapan sesetengah pihak yang melihatnya terus kekal solo hingga sekarang.
Dia sebaliknya masih mencari wanita yang tepat untuk dijadikan isteri.
“Bagi saya tiada istilah serik atau trauma kerana semua itu pengalaman hidup dan kalau ada jodoh berkahwin esok, maka esok jugalah saya kahwin. Ini semua aturan Allah.
“Bukan saya tak ingin berkeluarga sebab sekarang pun usia saya sudah mencecah 38 tahun. Cuma ada yang saya berkenan, dia pula tak mahu, begitu juga sebaliknya. Jadi kita tunggu saja jodoh yang tepat.
“Pernah juga bercinta tetapi putus di tengah jalan. Semua ini berbalik kepada-Nya. Jodoh, ajal dan maut semuanya terletak di tangan Allah SWT. Siapa saya untuk menidakkan takdir.
“Apa pun hati saya tetap terbuka untuk mengenali insan lain,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program realiti Hijrahku Laguku.
Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 2 (AF2) itu mendirikan rumahtangga dengan pelakon yang juga bekas anggota Elite, Fiza pada September 2013.
Namun mereka bercerai sekitar April 2014 tetapi rujuk pada tahun sama dan Fiza sekali lagi menuntut cerai dua tahun kemudian selepas memaklumkan hubungan itu tidak boleh dipertahankan.
Perkahwinan mereka juga tidak dikurniakan cahaya mata.
Sementara itu, Adam yang kini menggunakan nama komersil Pangiran Adam mengakui masih bersahabat dengan bekas isteri.
Katanya, biarpun mereka tidak dikurniakan cahayamata, anak-anak Fiza pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya sekali gus dia masih bertanya khabar mereka.
“Anak-anaknya juga pernah menjadi anak saya dulu. Sebab itu kami tetap berkawan tetapi ketika dia sudah berkahwin semula komunikasi kami terputus.
“Ketika itu tidak manis untuk saya menghubunginya walaupun sekadar mahu bertanyakan keadaan anak-anak. Apabila dia solo kembali, persahabatan kami terjalin semula.
“Macam kawan lain, tanya khabar selain perkembangan diri. Masing-masing pun sudah ‘move on’ dan matang,” tambahnya yang turut dipilih sebagai peserta program realiti terbitan TV Alhijrah itu.
Mengenai penggunaan nama Pengiran Adam, pemilik nama sebenar Mohd Aizam Mat Saman itu mengakui ia sebagai permulaan baharu yang lebih segar terhadap perjalanan kerjaya seninya.
“Sejujurnya saya mahu tampilkan Adam yang baharu menerusi panggilan Pangiran Adam itu sendiri selain pada masa sama turut mengekalkan nama keluarga kami.
“Selepas beberapa tahun menumpukan perhatian terhadap perniagaan, pembabitan dalam program ini juga jadi batu loncatan untuk saya berkongsi lagu kemanusiaan.
“Saya teruja menyahut cabaran produksi kerana seperti bisnes yang saya usahakan, rancangan realiti sebegini juga beri manfaat kepada orang ramai,” akuinya yang memberikan khidmat perubatan alternatif. – K! ONLINE