fbpx

Ubah suai persalinan formal kepada kasual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA koleksi Relax Optimism yang membolehkan pemakai menghadiri majlis formal dan kasual menerusi suai padan tertentu.

BERPAKAIAN formal kebiasaannya terhad untuk digayakan ke tempat-tempat tertentu seperti majlis korporat atau rasmi, malah ia kelihatan agak janggal atau terlalu serius jika dipakai sewaktu melakukan aktiviti santai.

Sehubungan itu, NR Exclusive menghasilkan koleksi terbaharu yang menawarkan gaya formal dan kasual hanya dalam satu persalinan bagi memudahkan si pemakai melakukan pelbagai aktiviti tanpa sebarang gangguan penampilan.

Koleksi yang diberi nama Relax Optimism itu boleh menukar imej formal kepada kasual dalam sekelip mata dengan menyuai padan baju tersebut bersama sentuhan elemen kasual.

Menurut perekanya, Muhammad Naqib Ab. Rahim, rekaan persalinan lelaki itu direka dengan ciri-ciri formal dan kasual yang mana pemakai boleh menggayakannya mengikut aktiviti semasa.

“Sebagai contoh, pemakai boleh mengenakan kot bersama baju kemeja-T, kemeja lengan panjang, hoodie atau baju potongan turtleneck.

KEMEJA berzip membolehkan jejaka segera bergaya santai selepas menghadiri majlis formal.

“Kemudian membuka kot itu dengan hanya memakai baju di dalamnya untuk kelihatan lebih kasual,” katanya yang merupakan pemilik jenama NR Exclusive itu.

Muhammad Naqib turut menghasilkan kemeja berzip untuk menampakkan ciri-ciri kasual yang mana kebiasaannya direka dengan jahitan berbutang penuh.

Justeru, kemeja berzip itu tampak kasual apabila kot tersebut dibuka sekiranya ingin keluar bersantai bersama rakan-rakan.

Selain itu, terdapat juga jaket sport yang membolehkan si pemakai mengubah suai penampilan formal kepada gaya kasual dengan pantas apabila dipakai bersama kemeja atau persalinan formal.

“Saya secara peribadi sangat menggemari pemakaian sut lengkap, tetapi mahukan perubahan gaya yang pantas sebaik sahaja tamat mesyuarat untuk melakukan aktiviti santai.

“Koleksi ini banyak diinspirasikan daripada jenama-jenama pakaian lelaki terkemuka dan saya juga menggunakan rona biru menenangkan yang merupakan trend terkini serta kelihatan segar,” jelas pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Pemuda yang berasal dari Kuantan Pahang itu menggunakan pelbagai jenis fabrik kapas untuk menghasilkan koleksi Relax Optimism kerana kain tersebut sangat sesuai dengan cuaca di Malaysia selain menyerlahkan lagi elemen kasual.

KOLEKSI ini menggunakan pelbagai jenis fabrik kapas yang memberi keselesaan kepada si pemakai.

Koleksi made to measure itu boleh ditempah dengan menghubungi Muhammad Naqib di media sosial atau mengunjungi butiknya untuk mendapatkan nasihat dan ukuran yang bersesuaian dengan badan si pemakai.

Harga untuk koleksi tersebut bermula RM500 dan akan disiapkan dalam tempoh satu hingga dua minggu.

“Kami menekankan jahitan yang kemas agar persalinan ini cantik terletak pada badan si pemakai,” ujar anak bongsu daripada enam beradik itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI