fbpx

Setiap agensi perlu jadi responder bencana yang baik – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan bahawa setiap agensi harus menjadi responder yang baik semasa menyelamat atau menguruskan pusat-pusat pemindahan ketika bencana.

Beliau berkata,ia lebih-lebih lagi apabila negara berhadapan dengan risiko ‘bencana dalam bencana’.

“Ia bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19 semaksimum mungkin dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan yang telah disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program #KeluargaMalaysiaSiagaBencana sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 (BKN 2021) di Hotel Le Meridien Putrajaya di sini hari ini.

Pada program tersebut, sebanyak 82 buah kampung tradisional, kampung Orang Asli dan kawasan luar bandar serta 18 buah bandar dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Komuniti Hijau Covid-19.

Sementara itu, beliau berkata, sesuai dengan peranan sebagai agensi utama yang membantu kerajaan menyusun langkah-langkah wajar sebelum, semasa dan selepas bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah mengambil langkah proaktif dengan menggubal Dasar Pengurangan Risiko Bencana (DRR).

“DRR bukan sekadar penyediaan infrastruktur berhadapan bencana sahaja tetapi meliputi semua tindakan pencegahan dan pengurangan risiko dalam setiap tahap kitaran bencana.

“Justeru, kajian Daftar Risiko Bencana (NRR) dilaksanakan untuk meningkatkan pemahaman terhadap risiko bencana yang telah atau berpotensi berlaku,” katanya.

Jelas Ismail Sabri, ia bagi memudahkan kerajaan merancang dan membuat keputusan secara bermaklumat, selaras dengan matlamat Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Katanya, bagi memantapkan usaha-usaha itu, beberapa inisiatif telah dilaksanakan bersama rakan strategik seperti MERCY Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Japan International Cooperation Agency (JICA) dan komuniti Keluarga Malaysia.

Antara inisiatif tersebut, katanya, adalah platform e-sumbangan yang menyelaras permintaan dan pembekalan barangan bantuan antara penderma (pertubuhan bukan kerajaan, badan korporat dan orang perseorangan) dan penerima (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah).

Selain itu, ujarnya, adalah NRR, Community-Based Disaster Risk Management – Pandemic (CBDRM-P) yang melibatkan peranan komuniti dan pengurusan bencana dan Kajian Kapasiti Negeri dan Kerajaan Tempatan di Malaysia terhadap Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana.

Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak selaku Keluarga Malaysia untuk berganding bahu merealisasikan semua perancangan yang telah disusun bagi menghadapi apa jua bentuk dan intensiti bencana.

Menurut Ismail Sabri, pandemik Covid-19 dan varian-variannya masih belum lagi terhapus sepenuhnya dan ia akan memerlukan penyelarasan sumber dan kerjasama padu antara agensi-agensi kerajaan dalam menghadapi situasi ‘bencana dalam bencana’.

Beliau berkata, ia terutamanya semasa Monsun Timur Laut yang telah bermula pada 3 November lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI