fbpx

Percaturan Nora Danish sebagai duta tudung bertepatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemilihan Nora Danish sebagai wajah bagi sebuah jenama tudung disifatkan bersesuaian walaupun hebat dikecam dan dikritik netizen sebelum ini.

PETALING JAYA – Percaturan menggunakan artis popular, Nora Danish sebagai wajah kempen tudung bawal jenama MINAZ Hijab dilihat bertepatan apabila produk tersebut ‘licin’ dan terjual lebih 150,000 helai dalam tempoh kurang sejam.

Biarpun pada awalnya terpalit kontroversi mempersoalkan imej seksi Nora tidak seiring dengan produk dijual, namun perkara tersebut diambil sebagai satu sudut lebih luas.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Fesyen MINAZ, Hafiza Abd Hamid berkata, kejayaan tersebut turut membuka peluang kepada lebih 4,000 agen dan stokis seluruh Malaysia menjana pendapatan dari rumah di era pandemik Covid-19 ini.

“Jualan dan populariti jenama saya naik mendadak. Biarpun ada yang tak suka dengan pemilihannya kerana berimej seksi, tapi saya melihat semua ini daripada sudut berbeza.

“Pemilihannya bertepatan dan bersesuaian dengan konsep corak bunga pada tudung yang disifatkan manis serta elegan. Personaliti Nora yang mudah didekati dan ceria juga menyimpulkan keseluruhan perlambangan koleksi tudung.

“Dia juga boleh jadi magnet tarikan untuk mempengaruhi ramai wanita mengenali, memakai dan menyertai komuniti keluarga MINAZ Hijab,” katanya.

Hafiza dan Nora.

Terdahulu, timbul pelbagai persoalan netizen yang menyifatkan pemilihan Nora sebagai wajah kempen bagi sebuah jenama tudung tidak bertepatan dan jauh tersasar gara-gara imej seksinya.

Pemilihan Nora juga dikatakan hanya bermotif keuntungan semata-mata dan bukannya untuk kepentingan agama Islam.

Tidak hanya duduk diam, Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif, 39, bagaimanapun kekal positif, sekali gus mengakui dirinya sudah imun serta kebal dengan segala pandangan negatif netizen terhadap dirinya.

“Saya percaya ini dinamakan rezeki. Saya percaya membuat sesuatu yang baik termasuk menjayakan jenama yang memerlukan pemakaian tudung ini tidak pernah ada salahnya.

“Mungkin suatu hari nanti, siapa tahu akan dibukakan hati saya ke arah itu (bertudung). Semua ini sama seperti kita mendoakan sesuatu yang diharapkan. Ini juga bukan kali pertama saya ditawarkan tugasan mempromosikan jenama tudung,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI