fbpx

Nyaris ditetak tuntut hutang untuk kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KLANG – Hasrat seorang tukang cuci kereta menuntut semula hutang daripada adik saudaranya bukan sahaja tidak kesampaian malah nyaris ditetak dalam kejadian di Taman Sentosa, kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.30 malam ketika mangsa berusia 25 tahun bersama dua beradik sedang duduk di hadapan rumah ibunya.

Hutang yang dituntut mangsa adalah sebanyak RM2,200 bagi menampung kos perkahwinannya.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, sekumpulan suspek yang menaiki dua kereta jenis Proton Wira dan Hyundai kemudiannya tiba dengan seorang daripadanya adalah adik saudara mangsa.

Shamsul Amar

Katanya, dua suspek telah bertindak menyerang mangsa dan adiknya menggunakan senjata parang dan pisau.

“Suspek juga cuba menetak mangsa namun berjaya ditahan ibu bapa dan adik beradik mangsa.

“Bantuan turut disalurkan jiran-jiran mangsa dalam menyuraikan keadaan dan menghalau kesemua suspek agar beredar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Kata beliau, susulan kejadian tersebut hanya adik lelaki mangsa berusia 21 tahun cedera di bahagian muka akibat ditumbuk oleh suspek.

Jelas Shamsul Amar, bertindak maklumat kemudiannya berjaya menahan sembilan suspek lelaki berusia 20 hingga 28 tahun dalam tempoh lima jam sahaja di kawasan berhampiran rumah mangsa.

“Kita turut merampas kereta jenis Proton Wira selain dua bilah parang masing-masing berukuran 69 dan 67 sentimeter serta sebilah pisau lipat.

“Punca kejadian disebabkan mangsa meminta wang RM2,200 yang dipinjam adik saudaranya sejak tahun lalu kerana tidak cukup wang kahwin,” tegasnya.

Beliau berkata, hasil semakan lima daripada suspek mempunyai rekod lampau termasuk berkaitan ugutan, merompak, mencuri dan dadah. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI