fbpx

Yang penting pendengar seronok – Iman Troye

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IMAN TROYE

PADA awal kemunculannya satu ketika dulu, pernah terbaca artikel bahawa kerjaya penyanyi genit Iman Troye sekadar suam-suam kuku.

Telahan tersebut meleset sama sekali apabila kariernya semakin ‘mendunia’ dan kemilau glamor terus seiring dalam perjalanan si pemilik nama penuh Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin itu.

Detik demi detik, populariti yang diraihnya sudah tidak terjangkau sehingga ada yang membuat ramalan dia akan terus bersinar dalam jangka masa panjang.

INGIN keluar daripada zon selesa, Iman memilih untuk melupakan seketika rasa cinta terhadap lagu balada dan muncul dengan ­karya-karya berentak pop.

‘Bukan Nabila Razali’

Bercakap mengenai pengaruh yang diraihnya dalam masa singkat, penyanyi berusia 19 itu mengakui kadangkala berasa takut untuk menghadapi situasi tersebut.

“Sebenarnya saya sangat-sangat takut kerana tidak tahu apa sebenarnya pandangan orang terhadap saya.

“Sebagai manusia, saya juga banyak buat silap. Tetapi saya cuba belajar daripada kesilapan dan menjadi lebih baik berbanding sebelum ini,” ujarnya kepada HibGlam.

Ditebak tentang pendekatan berhadapan kritikan netizen yang sentiasa melemparkan kata-kata kurang enak kepadanya setiap kali berlaku sesuatu kesilapan, Iman sejujurnya tidak mampu untuk menutup mulut orang.

“Bohonglah jika saya tidak terasa dengan kata-kata netizen, terutama mengenai mutu vokal tetapi saya bukan jenis yang pendam lama-lama.

“Apa yang saya belajar ialah setiap perjalanan ada liku-liku dan terima dengan berlapang dada.

TIDAK kisah disamakan dengan Nabila Razali, Iman menyifatkan pandangan sedemikian sebagai satu perkara positif. Dia turut menjadikan penyanyi Peluang Kedua itu sebagai rujukan untuk terus unggul dalam industri hiburan tanah air.

“Bersyukur juga sebab jika buat salah dan ada orang yang tegur, maknanya mereka masih menyayangi saya. Harap selepas ini mereka dapat terima saya dengan hati yang terbuka dan tegur seperti biasa,” luahnya.

Bercakap tentang jolokan segelintir khalayak yang menyifatkan dirinya sebagai Nabila Razali 2.0 berdasarkan populariti mendadak sejak memasuki dunia hiburan, Iman memandang perkara tersebut dari sudut positif. Dalam masa sama, dia tidak menafikan sangat meminati keperibadian penyanyi popular itu.

“Bagi saya Kak Bella (Nabila) orang yang sangat baik hati. Dia banyak bagi nasihat dan ajar saya macam-macam.

“Banyak lagi yang dia boleh buat dan akan tunjukkan, cuma masanya belum tiba lagi,” ujar si genit berusia 19 tahun itu.

Tambah pelajar Diploma Muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam itu: “Jika ada yang menyamakan saya dengan Nabila Razali, saya ambil dari sudut yang positif sebab dia sangat-sangat baik dan berjaya dalam industri.”

SELEPAS mengecap kejayaan menerusi Teman dan Pejam Celik Raya, Iman sekali lagi menuai perhatian ramai dengan lagu ketiganya berjudul Nang sehingga memecah rekod baharu dengan sejuta tontonan dalam masa enam hari.

Nang bukan mudah

Selepas mengecap kejayaan menerusi Teman dan Pejam Celik Raya, Iman sekali lagi menuai perhatian ramai dengan lagu ketiganya berjudul Nang sehingga memecah rekod baharu dengan sejuta tontonan dalam masa enam hari.

Akuinya, bukan mudah untuk membawakan lagu berirama tradisional campuran moden seperti Nang dan sebagai artis dia juga berdepan dengan cabaran dari sudut penyampaian.

“Nang sebuah lagu yang sangat rancak dan pada awalnya susah juga untuk ‘mengejarnya’. Ditambah pula dengan suntikan muzik Jawa, memang agak sukar tetapi saya sukakan cabaran!

“Saya letak tepi sebentar semua kata-kata negatif tentang vokal, yang penting ialah memastikan pendengar seronok dengan karya ketiga ini,” katanya.

Iman bagaimanapun berasa beruntung kerana berpeluang membawakan lagu pop Melayu seperti Nang dan berharap dapat terus memperjuangkan genre muzik sebegitu.

“Saya sangat cintakan lagu bergenre balada tetapi bila masuk industri, saya cuba keluar daripada zon selesa dengan membawakan karya berentak pop.

“Semoga selepas Teman dan Nang, masih ada rezeki untuk saya terus bertapak dalam industri dan mengeluarkan lebih banyak karya yang lebih baik,” tutur anak kelahiran Selangor itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI