fbpx

TNB buat persiapan teratur hadapi banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Nazmy.

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan persiapan yang teratur di dalam menghadapi bencana banjir untuk musim tengkujuh kali ini.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood berkata, persiapan itu perlu bagi membekalkan elektrik yang selamat dan meminimumkan kerosakan pemasangan TNB di kawasan yang dinaiki air.

“Set-set janakuasa bergerak, janakuasa mudah alih dan perkakas kritikal semasa operasi banjir seperti bot, telefon satelit dan lampu limpah juga telah ditempatkan di beberapa lokasi strategik untuk siap sedia digunakan ketika musim tengkujuh.

“Pihak TNB juga akan membuka bilik gerakan di negeri yang terlibat banjir untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini bekalan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, sejak banjir besar berlaku pada tahun 2014, TNB telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menambah ketinggian tapak pencawang dan membina penghadang banjir di pintu masuk pencawang bagi mengurangkan risiko pencawang ditenggelami dan dirosakkan banjir.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar berhati-hati semasa menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air, elakkan daripada menyentuh peralatan elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap bagi mengelakkan renjatan.

“Setelah banjir surut, cuba dapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk memeriksa pendawaian di premis yang dinaiki air,” ujarnya.

Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline bagi tindakan lanjut. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI