fbpx

Siapa seterusnya akan dipecat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN / AFP

BAGI segelintir peminat bola sepak terutamanya Liga Perdana Inggeris (EPL), permulaan musim ini mungkin melangkaui imaginasi atau ramalan liar mereka sebelum ini meskipun perjalanan liga masih panjang.

Setakat ini, kesemua pasukan sudah beraksi 10 perlawanan dengan Chelsea mendahului kedudukan liga, kelebihan tiga mata berbanding Liverpool di tempat kedua.

Juara bertahan, Manchester City pula dilihat sedikit bergelut untuk mempertahankan kejuaraan apabila dibezakan lima mata dengan The Blues di tempat ketiga.

Bagaimanapun, situasi terburuk buat pasukan yang baru dinaikkan pangkat, Norwich yang terperosok di bawah liga apabila hanya mengutip dua mata dan belum menang.

Awal musim ini, ramai meramalkan The Citizens kendalian Pep Guardiola jadi pilihan juara, manakala pasukan dinaikkan pangkat seperti Norwich, Watford dan Brentford dijangka jatuh ke Liga Kejuaraan.

Selepas 10 perlawanan, situasi mulai berubah dan tiada lagi aturan, ramalan demi ramalan berlaku setiap masa dan pelbagai spekulasi dramatik mula mewarnai saingan EPL.

Setakat ini, para peminat disajikan pemecatan tiga pengurus iaitu pertamanya adalah Xisco Munoz dari Watford pada 3 Oktober lepas, diikuti Steve Bruce dari Newcastle (20 Oktober) dan Nuno Espirito Santo oleh Tottenham Hotspur (1 November).

Watford kemudian melantik bekas pengurus Leicester City yang pernah menjulang kejuaraan EPL, Claudio Ranieri untuk menyelamatkan The Hornets daripada terus terjerumus ke lembah zon penyingkiran.

Sementara itu, Newcastle yang diambil alih konsortium Dana Pelaburan Awam (IPF) Arab Saudi dengan Pengerusinya, Putera Mahkota Mohammed bin Salman memburu bekas pengurus Arsenal, Unai Emery sebagai pengganti Bruce, namun ditolak oleh jurulatih kelahiran Sepanyol itu kerana komitmennya bersama Villareal.

Akhirnya, Newcastle mengalih fokus kepada bekas pengurus Bournemouth, Eddie Howe bagi mengisi jawatan itu dan sudah dipersetujui secara dasar bahkan pelantikan itu dilaporkan secara meluas media di United Kingdom.

Pemecatan paling mengejutkan ialah Nuno Espirito Santo oleh Tottenham Hotspur selepas empat bulan pelantikannya atau setelah 17 perlawanan. Pemecatan dilakukan sebaik sahaja Spurs tewas kepada Manchester United 3-0 pada aksi di Stadium Tottenham Hotspur minggu lalu.

Spurs tidak menunggu lama untuk mencari pengganti Espirito apabila segera melantik bekas ketua jurulatih Chelsea dan Inter Milan, Antonio Conte sebagai pengurus baharu Spurs sehingga 2023.

Pada hal, sebelum pemecatan Espirito, nama paling hangat untuk dipecat seterusnya adalah pengendali The Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer susulan seminggu sebelum itu, United tewas 0-5 kepada seteru tradisi, Liverpool yang dikatakan sebagai kemuncak untuk memecat jurulatih kelahiran Norway tersebut.

Adakah hayat Solskjaer masih panjang di Old Trafford selepas pertembungan heavyweight antara United dengan seteru tetangga, City pada malam ini?

Jadi, siapa akan menjadi pilihan United bagi menggantikan Solskjaer jika itu yang berlaku atau lembaga pengarah terus menaruh kepercayaan kepada pemain legenda kelab tersebut sehingga hujung musim. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI