fbpx

Keputusan rayuan Anwar kembalikan saman pemula kes liwat Februari 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 23 Februari depan bagi keputusan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada beliau dibenar untuk mengembalikan saman pemulanya terhadap kerajaan berhubung sabitan kes liwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Datuk Lee Swee Seng bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Supang Lian memutuskan demikian selepas mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak pada prosiding kes melalui apklikasi Zoom.

Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman Anwar terhadap kerajaan bagi mengetepikan sabitan kes liwat keduanya dibuat berdasarkan fakta dan bukti.

Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan ketika berhujah berkata, mahkamah memutuskan bahawa dakwaan Datuk Seri Najib Tun Razak membayar RM9.5 juta kepada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik secara fiat (surat lantikan) sebagai Pendakwa Raya dalam rayuan kes liwat itu adalah tidak berasas.

Suzana berkata, Anwar sudah mendapat perbicaraan yang adil dan beliau dibebaskan oleh mahkamah tinggi daripada tuduhan tersebut.

Sementara itu, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar berkata, kes saman itu hendaklah dikembalikan ke mahkamah tinggi supaya sama ada dakwaan pembayaran terbabit benar atau sebaliknya boleh ditentukan oleh mahkamah.

Ahli Parlimen Port Dickson itu melalui saman pemula yang difailkan pada 9 Jun 2017 mendakwa beliau tidak dibicarakan dengan adil dalam rayuan kes liwat itu.

Beliau memohon perisytiharan bahawa sabitan terhadapnya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 bertentangan atau melangkaui Perlembagaan Persekutuan, sehubungan itu adalah terbatal dan tidak sah.

Anwar juga memohon perintah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan itu juga adalah terbatal dan tidak sah.

Pada 8 November 2017, mahkamah tinggi membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman pemula Anwar selepas memutuskan bahawa kesnya tidak mempunyai asas dan sebarang bukti sebagai sokongan.

Sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar bagi kesalahan meliwat Mohd. Saiful dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan, bagaimanapun Anwar mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.-K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI