fbpx

Hafiz Hamidun, putus cinta tak putus karier

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAFIZ HAMIDUN

SEDEKAD lalu, Hafiz Hamidun pernah mencipta fenomena luar biasa menerusi album Zikir Terapi Diri. Masih segar dalam ingatan, material yang dikeluarkan pada 2011 tersebut dijual dalam bentuk cakera padat, sedangkan ketika itu pasaran penjualan album fizikal merudum.

Tidak hanya memasuki kedai, album berkenaan turut dijual di masjid-masjid sekali gus membuatkan Hafiz mencipta rekod tersendiri apabila Zikir Terapi Diri berjaya terjual sehingga 1.5 juta unit. Lebih manis, jumlah tontonan dalam YouTube juga meraih lebih 100 juta kali.

Disebabkan kejayaan luar biasa album berkenaan dan seiring dengan permintaan ramai, Hafiz kembali membangkitkan nostalgia apabila muncul dengan album kesembilannya, Zikir Terapi Acapella bulan lalu.

Menurut lelaki berusia 37 tahun itu, Zikir Terapi Acapella merupakan salinan 100 peratus daripada Zikir Terapi Diri yang dibikin 10 tahun lalu. Bezanya, suara latar dan vokal Hafiz diangkat sebagai tarikan utama berbanding muzik.

“Saya tidak membuat rakaman semula untuk album baharu ini, sebaliknya menggunakan material sama yang dirakam 10 tahun lalu.

PERNAH kembali bercinta selepas bercerai, namun buat masa kini fokus Hafiz adalah untuk diri sendiri dan keluarga. – Universal Music

“Perbezaannya, saya buang semua muzik. Jika dahulu terdapat bunyi piano, sekarang elemen utama yang diangkat adalah vokal. Versi masih sama seperti dahulu cuma kali ini tanpa muzik,” jelas Hafiz pada sidang akhbar secara virtual baru-baru ini.

Ditebak apakah masih relevan andai menghasilkan sebuah album yang sama tetapi menyuntik kelainan tanpa muzik, jelas Hafiz, selain ingin membangkitkan nostalgia, Zikir Terapi Acapella dikeluarkan untuk memenuhi permintaan peminat negara di Timur Tengah dan Afrika.

“Ketika mengeluarkan album Zikir Terapi Diri versi muzik, saya menerima banyak respons. Saya dapati album tersebut sukar untuk menembusi pasaran negara Timur Tengah seperti Arab Saudi.

“Hal ini kerana, terdapat beberapa negara yang tidak mendengar muzik. Apatah lagi kalau album zikir. Banyak permintaan agar saya mengeluarkan versi tanpa muzik.

“Saya melihat banyak rujukan penyanyi yang mengeluarkan album seperti ini contohnya Maher Zain. Jika mengeluarkan album muzik, dia pasti akan mengeluarkan versi vokal bagi pasaran negara-negara sebegitu,” kata Hafiz tentang album tersebut yang menjalani pembikinan ketika Pelaksanaan Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0).

TIDAK hanya untuk pasaran tempatan, Hafiz meluncurkan Zikir Terapi Acapella demi memenuhi permintaan peminat di negara Timur Tengah dan Afrika.

Malar segar

Selepas album Zikir Terapi Diri pada 2011, Hafiz pernah muncul dengan edisi seterusnya iaitu Zikir Terapi 2, Zikir Terapi 3 dan Nur Zikir Terapi IV.

Bagaimanapun akui bekas anggota kumpulan UNIC itu, sukar untuknya menghasilkan album zikir baharu bagi menyaingi karya terdahulu memandangkan material tersebut disifatkan sudah menjadi album malar segar.

“Kenapa saya tidak membuat rakaman baharu? Sejujurnya memang sukar untuk menghasilkan kembali album Zikir Terapi Diri 2011 kerana karya tersebut cukup sempurna dan mencipta rekod luar biasa.

“Bagi saya, album tersebut sudah menjadi malar segar. Saya faham, dengan teknologi sekarang yang lebih canggih mungkin akan menghasilkan sesuatu yang baharu.

“Namun, saya enggan membuat rakaman baharu kerana tidak mahu keaslian vokal saya hilang. Saya hanya menukar suara latar dalam album ini,” tutur Hafiz.

Bukan bimbang dengan risiko penerimaan peminat tetapi jelas Hafiz yang telah menghasilkan empat buah album zikir, dia sendiri sudah kekeringan idea.

Hal ini kerana, zikir bukan seperti lagu yang boleh diubah-ubah liriknya, sebaliknya harus kekal dengan keaslian.

“Selepas keluarkan empat buah album zikir, saya sendiri sudah tidak tahu hendak buat apa lagi sebab zikir begitu sahajalah, memang tidak boleh diubah-ubah.

“Jadi, saya ingin kekalkan konsep terapi diri. Sebab itu saya kekalkan rakaman yang sama. Mungkin pada masa depan saya akan menjalin kolaborasi dengan penyanyi-penyanyi lain pula,” kata Hafiz.

Kongsi penyanyi itu lagi, dia sendiri terkejut apabila album Zikir Terapi Diri yang diterbitkan dengan kos paling minima dapat bertahan dan masih mendapat permintaan selepas sedekad berlalu.

“Saya masih ingat album tersebut diterbitkan oleh saya sendiri dengan kos yang paling murah. Sebab saya melakukan semuanya sendiri bermula dengan proses rakaman, susunan muzik dan penerbitan.

“Sampai sekarang saya sendiri tidak percaya, masih belum ada album zikir lain yang mampu menyainginya. Termasuklah album yang dikeluarkan oleh saya sendiri,” ujarnya lagi.

Selain digital, album Zikir Terapi Diri Acapella turut diterbitkan dalam versi cakera padat (CD) secara terhad dan eksklusif dijual menerusi Shopee.

SELEPAS sedekad, Hafiz mengulang memori fenomena Zikir Terapi Diri dengan meluncurkan album baharu, Zikir Terapi Acapella.

Putus cinta

Meskipun karier selaku penyanyi dan komposer berjalan dengan begitu baik sepanjang 19 tahun bergelumang dalam dunia seni, nasib tidak begitu menyebelahi Hafiz dalam kehidupan peribadi.

Dia yang sudah menduda selama empat tahun selepas bercerai dengan ahli perniagaan, Joy Revfa pada Oktober 2017 masih belum dihinggap tuah cinta.

Akuinya, hubungan cinta terbaharu bersama seorang selebriti media sosial Indonesia berstatus janda yang mula dikenalinya pada 2019 juga telah berakhir.

Jelas Hafiz, percintaan mereka tidak dapat diteruskan kerana sukar memberi komitmen hubungan jarak jauh apatah lagi ketika musim pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

“Hubungan dengan orang seberang sudah terputus. Disebabkan Covid-19, membataskan saya untuk bertemu dengan sesiapa. Jadi, komitmen terhadap hubungan jarak jauh tidak boleh diteruskan.

“Susah sebenarnya. Adalah lebih baik saya fokus terhadap kerjaya dan keluarga kecil saya sekarang,” getus Hafiz.

Meskipun begitu, lelaki itu tidak serik bercinta dan bersikap terbuka andai dipertemukan jodoh dengan mana-mana wanita pada masa depan. Cuma, terdapat syarat yang ditetapkan Hafiz buat bakal isterinya nanti.

Selain menerima dia dan keluarga, wanita itu haruslah menerima anak angkatnya, Hamdee Abdul Hafiz yang kini berusia setahun tujuh bulan dengan hati terbuka.

“Sekarang bukan perlu terima saya sahaja, tetapi Hamdee juga. Harus tahu bahawa Hamdee lahir dan membesar dalam keadaan yang bagaimana kerana dia mempunyai sejarah tersendiri.

“Keluarga saya sudah tentu mengenalinya dari kecil. Kalau ada orang mahu berkahwin dengan saya, mana tahu jika ada jodoh, dia (wanita) memang kena terima bukan saja saya, keluarga, tetapi paling penting Hamdee,” ujar Hafiz menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI