fbpx

Bapa kelar anak ubah siaran televisyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebilah pisau berukuran lapan inci yang dirampas pihak polis di tempat kejadian.- Foto: IHSAN PDRM

HULU SELANGOR – Seorang lelaki bertindak di luar jangkaan apabila sanggup mengelar leher anaknya sendiri dalam satu pertengkaran berhubung siaran televisyen dalam kejadian di rumah mereka di Bernam Jaya, Hulu Bernam di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada pukul 12.55 tengah hari daripada suspek yang memaklumkan telah menemui anaknya tidak sedarkan diri dalam keadaan terbaring berlumuran darah di ruang tamu.

“Suspek mendakwa telah pergi ke kedai sebelum menemui anaknya yang berusia 37 tahun itu terbaring berlumuran darah dengan luka di leher dan darah keluar dari kepalanya apabila dia pulang ke rumah.

“Siasatan yang dilakukan pihak polis bagaimanapun mendapati leher mangsa terdapat kesan kelar yang dalam, bukannya tindakan bunuh diri dan dilakukan oleh pihak ketiga,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Arsad berkata, menerusi siasatan lanjut yang dilakukan, suspek berusia 71 tahun itu kemudiannya mengaku telah bertengkar dengan anaknya selepas mangsa mengubah siaran televisyen yang sedang ditonton.

“Sewaktu pertengkaran berlaku, suspek telah bertindak menolak mangsa ke dinding dan jatuh ke lantai sebelum dia seterusnya bertindak mengambil pisau di dapur dan berlaku pergelutan yang mengakibatkan mangsa ditoreh pada leher sebanyak tiga kali.

“Suspek kemudiannya ditahan dan pihak polis turut merampas sebilah pisau berukuran lebih kurang lapan inci serta masing-masing sehelai kemeja lengan pendek dan seluar pendek yang dipakai suspek sewaktu kejadian,” ujar beliau.

Jelas Arsad, ujian air kencing suspek adalah negatif serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan dia akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu hari ini untuk memohon reman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis percaya penahanan suspek telah berjaya menyelesaikan kes bunuh ini sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap polis,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI