fbpx

Duit KWSP untuk hari ini atau masa tua?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
NOR SYARIZA MUHD. TAHIR,
WARTAWAN EKSEKUTIF

PENGUMUMAN Bajet 2022 pada Jumaat lalu memberi penekanan terhadap usaha untuk membantu memulihkan setiap segmen sosioekonomi Malaysia.

Bagaimanapun, ramai pekerja swasta yang meluahkan rasa kecewa kerana belanjawan tersebut tidak memberi peruntukan kepada mereka untuk mengeluarkan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra secara one-off bagi membantu usaha mereka untuk terus bertahan dalam pandemik Covid-19.

Akaun Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipenuhi dengan banyak komen ditinggalkan orang ramai yang meminta bantuannya untuk mengetengahkan perkara itu di Parlimen agar pengeluaran wang KWSP berjumlah RM10,000 secara one-off diluluskan.

Cadangan itu adalah sebagai kesinambungan kepada pengelua­ran yang telah diluluskan sebelum ini seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang telah menyaksikan sejumlah RM101 bilion telah dikeluarkan dan disa­lurkan kepada 7.4 juta ahli.

Bagaimanapun, satu kenya­taan yang dikeluarkan KWSP kelmarin mendedahkan bahawa seramai 6.1 juta ahli kini mempunyai baki kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka.

“Daripada jumlah itu, seramai 3.6 juta ahli mempunyai kurang RM1,000, seterusnya menjadikan mereka lebih rentan dan tanpa perlindungan persaraan.

“Ketiga-tiga pengeluaran luar biasa sebelum ini telah menyebabkan 73 peratus atau hampir tiga per empat ahli berada dalam situasi serius yang mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara,” kata KWSP.

Kejatuhan dalam simpanan ini amat merisaukan ramai pihak terutamanya pencarum bumiputera yang menjadi kumpulan paling ramai terjejas.

“Sebanyak 4.4 juta atau 54 peratus daripada pencarum bumiputera kini mempunyai simpanan kurang RM10,000 dan dua juta atau 25 peratus mempunyai wang KWSP kurang daripada RM1,000,” tambah kenyataan tersebut.

Statistik tersebut membimbangkan banyak pihak meskipun keadaan itu sudah dapat diagak.

Isu ini mewujudkan satu dilema terhadap kerajaan yang komited untuk membantu rakyat dengan membenarkan pengelua­ran KWSP mereka, namun dalam masa sama enggan membiarkan rakyat sengsara ketika hari persaraan susulan ketiadaan wang simpanan untuk digunakan.

Bagi rakyat pula, meskipun sedar akan keadaan yang bakal menanti mereka ketika tempoh persaraan nanti, mereka tiada pilihan selain terpaksa mengeluarkan wang tersebut untuk digunakan pada hari ini bagi membantu ‘melepaskan’ diri daripada belenggu hutang-piutang serta segala jenis perbelanjaan ketika waktu sukar ini.

Ini menimbulkan satu konflik antara rakyat dengan kerajaan yang diibaratkan seperti ditelan mati emak, diluah mati bapa.

Bagi seorang peniaga, Andaq Fithry, 40, selain kenaikan kadar pengangguran akibat Covid-19, masih ramai rakyat yang melalui fasa pengurangan gaji selain para peniaga juga belum mampu kembali pulih akibat penutupan sektor ekonomi sebelum ini.

“Tidak ada individu ‘normal’ yang akan mengorek tabung sendiri tanpa sebab.

“Rakyat berada dalam kea­daan terdesak kerana mereka te­ruk terjejas.

“Untuk rakyat kembali memulihkan keadaan kewangan golongan itu bukanlah setahun dua, dan bantuan seumpama ini amat diperlukan bagi membantu kami,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI