DUNIA masa kini banyak pancarobanya, begitu juga dalam perubatan alternatif yang banyak boleh diperoleh di merata tempat pada masa kini.
Tidak kena gaya, pasti kita terpedaya dengan individu yang mengaku hebat dalam perubatan tradisional dan Islam, pada hal menjadi duri dalam daging umat Islam dengan menggunakan agama untuk menipu orang ramai.
Wawancara minggu ini membawabkan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor yang membincangkan berkaitan amalan perubatan alternatif termasuk yang dikatakan bercirikan Islam yang semakin mendapat tempat di hati masyarakat.
—————————————————————————————————————————
BARU-BARU ini, masyarakat di negara ini gempar apabila akhbar melaporkan nasib malang menimpa bakal pengantin baharu apabila dirinya dirogol pengamal perubatan tradisional atau bomoh sewaktu menerima rawatan gangguan makhluk halus di sebuah rumah di Kampung Tendong, Pasir Mas, Kelantan.
Dalam insiden tersebut, bomoh dikenali sebagai Ayah Su didakwa merogol mangsa dan mendakwa ia merupakan salah satu kaedah rawatan untuk menghalau gangguan makhluk halus.
Tindakan jijik lelaki berusia 67 tahun itu lantas mengundang kemarahan umum dan ada juga yang mempersoalkan mengapa masih ada lagi individu mempercayai kaedah perubatan seperti itu.
Bagi membincangkan lanjut mengenai isu bomoh dalam masyarakat Islam, wartawan Kosmo! Ahad, KHAIRIYAH HANAFI menemu bual Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor baru-baru.
KOSMO AHAD!: Baru-baru ini, seorang bakal pengantin mendapat mimpi ngeri selepas dirogol bomoh ketika dikatakan mendapatkan rawatan gangguan makhluk halus. Persoalannya, di zaman serba canggih ini, masih ada lagi anggota masyarakat percaya dengan benda-benda khurafat seperti itu. Pada pandangan Datuk Seri, apa yang mendorong orang ramai percayakan benda-benda khurafat seperti itu pada masa ini?
DR. WAN SALIM: Walaupun kemajuan dunia berkembang pesat pada masa kini, namun masih ada kecenderungan kepada mempercayai perkara-perkara khurafat dan mengamalkannya dalam kalangan masyarakat.
Bilamana seseorang mempercayai sesuatu bercanggah dengan akal fikiran yang waras serta tidak berlandaskan dalil-dalil daripada sumber yang sahih, ini bererti dia percaya kepada khurafat.
Islam adalah agama ilmu pengetahuan dan menyeru umatnya menuntut ilmu serta menggunakan akal waras dalam mencari kebenaran.
Pada bila-bila masa pun terdapat orang-orang yang cenderung kepada perkara-perkara ghaib atau metafizik, di samping ada yang cenderung kepada alam fizik atau material.
Malah semua agama mengajar kepercayaan kepada perkara ghaib termasuk malaikat, jin, alam barzakh, syurga, neraka dan sebagainya.
Namun, kepercayaan kepada benda ghaib ini tidak seharusnya membawa manusia kepada mempercayai kepada khurafat dan mengamalkannya secara semberono tanpa merujuk kepada ilmu atau dalil agama yang sahih.
Kita semua sedia maklum, amalan perubatan tradisional telah lama diamalkan sejak zaman berzaman. Begitu banyak teknik dan kaedah yang digunakan oleh pengamal perubatan tradisional terutamanya amalan jampi. Adakah semua jampi yang diamalkan oleh pengamal perubatan tradisional menyeleweng daripada ajaran Islam?
Rawatan menggunakan jampi mantera ada yang diharuskan di dalam agama Islam dan ada pula yang terlarang.
Jampi menggunakan ayat al-Qur’an atau doa-doa yang ma’thur iaitu yang diterima daripada Nabi SAW adalah dihukum harus atau sunat oleh para ulama.
Sebaliknya, jampi-jampi menyebut nama-nama jin, hantu dan syaitan adalah haram dan dibimbangi akan membawa kepada syirik.
Terdapat juga mereka yang menggelarkan diri sebagai pengamal perubatan Islam menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dalam kaedah perubatan. Adakah ini dibenarkan dalam Islam atau sebaliknya?
Jampi menggunakan ayat-ayat suci al-Quran adalah dibenarkan dalam Islam.
Begitu juga berubat dengan menuliskan ayat-ayat al-Quran di pinggan atau sebagainya, lalu dibasuh dan diminum airnya, atau disapu atau direnjis di bahagian badan yang sakit, juga hukumnya harus.
Malah kaedah sedemikian memang diamalkan oleh umat Islam sejak zaman salafus salih lagi.
Bagaimanapun, membuat azimat atau tangkal daripada tulisan ayat al-Quran yang digantung di leher atau diikat di mana-mana bahagian tubuh tidak diharuskan oleh ulamak.
Penggunaan ayat-ayat suci al-Quran dalam proses pengubatan mungkin digunakan pihak tertentu yang berselindung di sebalik pengamal perubatan Islam bagi mengaut keuntungan. Bagaimana untuk mengatasi perkara ini agar masyarakat tidak terpedaya dengan taktik mereka yang cuba menangguk di air keruh?
Memohon bantuan jin untuk merawat penyakit merupakan salah satu isu yang menjadi perselisihan para ulama.
Ramai ulamak berpandangan, cara sebegini patut dielak kerana dibimbangi akan membawa kepada syirik, atau sekurang-kurangnya boleh mendorong kepada perbuatan maksiat.
Namun, Sheikh Ibnu Taimiyah membenarkan memohon bantuan jin dalam perkara mubah atau harus.
Dalam hal ini, masyarakat awam dinasihatkan supaya mengelakkan diri daripada memohon pertolongan daripada jin sebagai langkah berhati-hati terhadap akibatnya yang mungkin menyukarkan kehidupan seseorang di kemudian hari, lebih-lebih lagi akan menjejaskan kemurnian akidah Islam.

Ada juga individu yang menggelarkan dirinya ustaz, atau berpakaian seperti guru agama, kelihatan warak serta menggunakan gelaran tertentu mendakwa boleh melakukan rawatan pembedahan batin yang dikatakan berupaya menggantikan pembedahan moden bagi penyakit kronik seperti masalah jantung, barah otak, barah hati dan lain-lain penyakit. Sejauh mana kebenaran perkara seperti ini atau mereka sekadar menjadi penunggang agama untuk menarik perhatian masyarakat?
Dalam dunia masa kini, memang ada orang yang mencari rezeki secara haram.
Ada yang berlagak macam orang alim atau salih, padahal sebenarnya dia adalah seorang munafik dan penipu.
Antaranya, ada yang mendakwa menjadi pakar rawatan tradisional sebagai ganti kepada rawatan atau perubatan moden.
Ada pula yang mendakwa mampu melakukan ‘pembedahan batin’. Ini adalah sejenis penipuan atau pembohongan.
Kita tidak pasti asal usul kaedah rawatan sedemikian.
Apa yang sedia dimaklumi, dalam Islam hanya wujud dua kategori rawatan sahaja iaitu perubatan ringkas berasal dari zaman jahiliah seperti yang ada pada perubatan Melayu yang diwarisi daripada generasi ke generasi, ditokok dengan jampi atau ruqyah dengan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa ma’thur.
Kategori kedua pula ialah perubatan canggih yang dipelopori oleh tokoh-tokoh ilmuwan Islam zaman silam seperti al-Battani, Ibnu Sina, al-Razi, al-Zahrawi dan lain-lain.
Karya-karya ensiklopedia tokoh-tokoh Muslim ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah dan dijadikan rujukan selama kurang lebih 1,000 lamanya di institusi-institusi pengajian tinggi di sana.
Orang Barat memperkembangkan lagi ilmu perubatan yang mereka terima daripada tokoh-tokoh ilmuwan Muslim sehingga terhasil ilmu perubatan yang kita saksikan pada hari ini.
Bagaimana untuk mengenal mereka yang benar-benar menepati kriteria dalam perubatan Islam dan ikhlas untuk membantu orang ramai yang memerlukan rawatan dalam penyakit tertentu dan tidak menggunakan agama untuk mencari kekayaan mudah dengan menipu?
Supaya dapat dibezakan antara perawat yang sebenarnya dan yang mendakwa sebagai pakar namun pada hakikatnya adalah penipu, maka hendaklah diselidiki terlebih dahulu latar diri seorang yang dikatakan perawat atau yang mendakwa dirinya seorang perawat.
Lihat ibadatnya, perhatikan kelakuan dan tutur katanya. Perawat sebenar tidak membesarkan dirinya, tidak berbangga dengan kebolehannya, sebaliknya sentiasa merendah diri.
Percakapannya sentiasa berlapik dengan ungkapan ‘insya-Allah. Tidak pernah ditohmah pada tabiat dan tingkah lakunya.
Tidak meninggalkan ibadat seperti solat, puasa dan sebagainya.
Paling penting tidak tamak harta dengan meletakkan ‘pengkeras’ yang mahal atau menuntut bayaran yang tinggi.
Berapa yang diberikan orang dia menerimanya dengan hati yang reda tanpa merungut atau mengungkit.
Apakah nasihat yang boleh diberikan kepada orang ramai yang mahu mendapatkan perkhidmatan perubatan alternatif terutama perubatan Islam agar tidak terpedaya dengan mereka yang rakus mengaut untung dengan bertopengkan agama?
Saya suka menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam menggunakan khidmat rawatan atau pengubatan alternatif atau tradisional agar tidak menjadi mangsa penipuan orang yang tidak bertanggungjawab.
Kaum wanita khususnya perlu lebih berhati-hati.
Jangan pergi menemui pengamal perubatan tradisional sendirian, perlu ditemani suami, kawan atau saudara mara.
Sebelum menemui pengamal perubatan terbabit, selidikilah lebih dahulu latar belakangnya supaya anda tidak menjadi mangsa penipuan dan mengeluarkan belanja dengan sia-sia sahaja.

Apakah ciri-ciri pengubatan yang tidak berlandaskan syarak dan hukuman yang boleh dikenakan kepada pengamal perubatan atau bomoh yang mengamalkan amalan syirik seperti sihir dan penggunaan jin?
Elakkan juga bomoh yang menggunakan khidmat makhluk jin hatta jin Islam.
Kita tidak mengetahui adakah dia betul Islam atau hanya dakwaannya sahaja.
Perlu difahami bukan semua jin Islam itu baik. Sama juga seperti manusia, ada yang baik dan ada yang jahat.
Tiada hukuman tertentu yang dinyatakan dalam al-Quran atau hadis ke atas golongan bomoh yang mengamalkan sihir atau syirik.
Pihak berkuasa berhak mengenakan hukuman ‘takzir’ ke atas pensihir atau bomoh yang melakukan perbuatan syirik mengikut budi bicara hakim atau mahkamah.














