fbpx

Isteri menangis rindu anak, Azmi Saat mohon doa ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS 10 tahun menanti, Azmi dan Nazira dikurniakan cahaya mata sulung pada 27 September lalu sebelum bayi itu meninggal dunia tiga hari kemudian.

PETALING JAYA – Genap sebulan selepas pemergian satu-satunya permata hati mereka, penyanyi Azmi Saat mengakui isterinya Nazira Muhammad belum kuat menanggung rindu apabila kerap menitiskan air mata teringatkan si kecil.

Dalam nada berbaur sebak, penyanyi itu mengharapkan doa dan ucapan positif orang ramai sebagai hadiah bersempena ulang tahun insan dicintainya itu supaya terus tabah.

“Hari ini, hari ulang tahun kelahiran orang yang sangat bermakna dalam hidup saya. Dialah isteri, sahabat, kawan dan nyawa saya.

“Mohon kawan-kawan doakan dia agar sentiasa dirahmati, diberkati, dilimpahkan rezeki yang berkat, sentiasa dalam kebaikan di dunia dan akhirat.

“Kalau sudi, tolonglah hadiahkan kata-kata positif untuknya. Hari ini genap sebulan arwah Afnan dilahirkan.

“Ternyata, dia masih belum betul-betul boleh melupakan saat-saat indah bersama cahaya mata kami,” katanya menerusi perkongsian di Instagram lima hari lalu.

Pada masa sama, Azmi, 34, berharap ucapan positif orang ramai dapat menyuntik semula kekuatan kepada Nazira.

“Walaupun keadaannya semakin baik, tapi setiap hari akan ada masa dia menangis kerana rindukan Afnan dan detik indah itu.

“Mudah-mudahan kata-kata positif anda semua dapat memberi seribu kekuatan buat dirinya, insya-Allah. Selamat ulang tahun kelahiran Nazira Muhammad,” luah penyanyi Tulus itu lagi.

Terdahulu, vokalis kumpulan Caliph Buskers itu kehilangan cahaya mata pertamanya tiga hari selepas dilahirkan pada 27 September lalu.

Lebih menyayat hati, takdir tersebut dilalui Azmi dan Nazira setelah 10 tahun menanti kehadiran zuriat sendiri.

Pasangan itu bagaimanapun reda apabila anak sulung yang dinamakan sebagai Khairul Afnan disahkan meninggal dunia akibat kegagalan fungsi otak pada 30 September lalu.

Nazira melahirkan Afnan menerusi kaedah pembedahan di sebuah pusat perubatan yang dilahirkan dengan berat 3.3 kilogram.

Azmi mendirikan rumahtangga dengan Nazira, seorang penjawat awam yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan pada 2011. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI