fbpx

Hancur hati orang ramai tiada pengeluaran KWSP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIADA sebarang pengumuman mengenai kebenaran pengeluaran wang KWSP dibuat dalam pembentangan Bajet 2022. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Sebilangan rakyat hampa apabila pengelua­ran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara one-off yang ditunggu-tunggu mereka tidak disentuh dalam pembentangan Bajet 2022 kelmarin.

Kekecewaan itu diluahkan rakyat di media sosial sebaik sahaja pembentangan Bajet 2022 selesai dibacakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zaf­rul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat.

“Kami mahu KWSP membenarkan pengeluaran wang simpanan kami sebanyak RM10,000 secara terus, tak kiralah melalui i-Citra atau i-Bunga” kata seorang kakitangan swasta, Hussaini Amran.

Katanya, pengeluaran wang tersebut adalah penting untuk rakyat membina semula ekonomi mereka terutama golongan yang dibuang kerja.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd. Nizam pula berharap kebenaran pengeluaran KWSP disentuh dalam pembentangan Bajet 2022, tetapi malangnya ia langsung tiada.

“Saya harap kerajaan dapat membuat pertimbangan semula me­ngenai perkara ini demi ke­langsungan hidup rakyat terutama golongan berpendapatan sederhana yang kurang mendapat ‘habuan’ dalam bajet kali ini,” katanya.

Sementara itu, Pemuda UMNO turut melahirkan rasa kecewa apabila pengeluaran KWSP menerusi skim i-Citra sebanyak RM10,000 secara one-off tiada dalam pembentangan Bajet 2020.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau berharap Menteri Kewangan dapat memberi penjelasan tuntas dalam ucapan penggulungannya nanti mengapa tuntutan rakyat itu tidak dapat penuhi.

“Saya akui kegagalan untuk meyakinkan kerajaan betapa rakyat amat mengharapkan ­i-Citra KWSP sebanyak RM10,000 secara one-off bagi memulakan kehidupan baharu pascapandemik akibat terlalu banyak komitmen tertunggak.

“Pelbagai memorandum de­ngan segala justifikasi berpandukan rintihan rakyat yang benar-benar susah telah dikemukakan berkali-kali.

“Bahkan usaha-usaha melobi telah kami lakukan termasuklah kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan selain siri-siri pertemuan dengan pengurusan tertinggi KWSP,” katanya dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Bagaimanapun, Asyraf Waj­di berkata, secara umum Bajet 2022 yang dibentangkan kelmarin menyeluruh dan optimistik serta bakal menjadi instrumen penting untuk pemulihan negara.

Katanya, rumusan awal itu berdasarkan pemerhatian me­ngenai program-program dan peruntukan untuk kumpulan-kumpulan sasar yang disebut secara spesifik oleh Menteri Kewangan.

Kata beliau, ia termasuk untuk golongan muda, penjawat awam, pekerja, pengusaha perniagaan, ibu dan wanita, belia serta kanak-kanak.

“Namun, Pemuda UMNO tidak boleh ‘lepas tangan’. maka dokumen-dokumen Bajet 2022 akan diteliti dengan mendalam.

“Pandangan, kritikan dan cadangan untuk penambahbaikan Bajet 2022 oleh Pemuda UMNO akan disampaikan kepada anggota pentadbiran kerajaan dan ahli-ahli Parlimen.

“Kami mahu manfaat sebenar Bajet 2022 akan sampai kepada rakyat dan memangkin kepada pemulihan ekonomi negara,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI