KOTA BHARU- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesan 23 kes jangkitan Covid-19 melibatkan varian Delta di negeri ini dalam tempoh sembilan hari.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, varian itu dikesan bermula 20 Oktober lalu sehingga semalam melalui kajian berterusan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurutnya, selain itu, JKNK turut mengesan satu kes melibatkan varian Beta dalam tempoh sama.
“Sampel berkenaan diambil dari beberapa daerah di negeri ini sebelum dihantar oleh JKNK kepada KKM untuk diuji. Daripada sampel itu, kita telah mengenal pasti 23 kes varian Delta dan satu kes varian Beta dalam tempoh sembilan hari.
“Setakat ini, sebanyak 50 kes melibatkan varian Delta dan 27 varian Beta dilaporkan di Kelantan sehingga semalam,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mengulas lanjut, Zaini berkata, kadar jangkitan Covid-19 di Kelantan masih tinggi jika dibanding dengan negeri-negeri lain iaitu sebanyak 49 kes bagi setiap 10,000 populasi. – K! ONLINE.














