fbpx

E-rokok terbukti kurang mudarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penggunaan vape disifatkan sebagai alternatif yang kurang mudarat berbanding rokok tradisional. - Gambar hiasan

Oleh Dr. Kumar Subramaniam

PENTADBIRAN Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA AS) pada 12 Oktober lalu mengumumkan kebenaran set pertama produk e-rokok untuk dijual di AS.

Dengan keputusan ini, agensi itu memberi isyarat bahawa mereka percaya produk vape menawarkan peluang kepada perokok untuk berhenti merokok dengan pendedahan yang kurang mudarat kepada bahan kimia berbahaya.

FDA dalam kenyataannya berkata, kebenaran itu merupakan satu langkah penting ke arah memastikan semua produk baharu menjalani penilaian prapasaran saintifik FDA.

Tambahnya, “data pengilang menunjukkan produk mereka yang berperisa tembakau boleh memberi manfaat kepada perokok dewasa yang ketagih untuk beralih kepada produk ini, sama ada sepenuhnya atau melalui pengurangan ketara dalam penggunaan rokok, dengan pengurangan pendedahan kepada bahan kimia berbahaya.”

Ini selaras dengan satu penyelidikan yang dilakukan baru-baru ini.

Meneliti bukti daripada 61 kajian melibatkan lebih daripada 16,000 peserta, Jamie Hartmann-Boyce dari Universiti Oxford mendapati kajian memberi lebih keyakinan terhadap e-rokok bernikotin, seperti yang kini diluluskan oleh FDA.

Ia boleh membantu orang ramai berhenti merokok dengan lebih berkesan berbanding kaedah terapi gantian nikotin lain seperti gula-gula getah dan kaedah tampalan.

Pakar Oxford itu mejelaskan, kajian yang menguji e-rokok sebagai cara untuk berhenti merokok menunjukkan tidak ada bukti bahawa pengguna e-rokok lebih cenderung mengalami masalah kesihatan yang serius.

Terdapat bukti yang menunjukkan penggunaan vape efektif dalam usaha untuk berhenti merokok.

Bagi pengamal perubatan seperti saya, apabila diterjemahkan ke dalam tindakan, ini bermakna: “Jika anda tidak merokok, jangan mula menggunakan e-rokok atau vape. Jika anda merokok, pertimbangkan untuk bertukar.”

E-rokok atau vape mula mendapat perhatian di Malaysia pada 2015 sebagai peranti yang direka untuk memberi perokok nikotin fix yang mereka idamkan tanpa carcinogen (bahan penyebab kanser) yang hadir daripada pembakaran rokok.

Secara konsepnya dikenali sebagai pengurangan kemudaratan tembakau, strategi ini bertujuan mengurangkan kemudaratan kepada kesihatan perokok yang tidak boleh atau tidak mahu berhenti menggunakan nikotin melalui kaedah tradisional (seperti menghisap rokok) dengan menggalakkan penggunaan produk penggantian nikotin yang lain.

Walaupun terdapat banyak produk penggantian nikotin tersedia, data menunjukkan bahawa e-rokok atau vape adalah yang paling berkesan.

Dalam tinjauan pendapat baru-baru ini oleh sebuah organisasi kebajikan berkaitan perubatan British, Cochrane, disimpulkan bahawa lebih ramai orang mungkin berhenti merokok sekurang-kurangnya selepas enam bulan menggunakan e-rokok nikotin berbanding terapi penggantian nikotin yang lain.

Kajian seperti ini yang sedikit sebanyak mendorong keputusan penting oleh FDA tidak boleh dipandang remeh.

Ia adalah contoh yang kukuh tentang bagaimana bukti yang disokong sains boleh dan mesti memainkan peranan dalam membangunkan rangka kerja kawal selia untuk produk kompleks seperti e-rokok.

Sebagai negara yang sentiasa berjuang untuk mengurangkan kelaziman merokok, kita perlu melihat hala tuju yang efektif untuk menguruskan epidemik merokok di negara ini, antaranya dengan mewujudkan satu rangka kerja kawal selia yang meletakkan e-rokok sebagai penyelesaian efektif untuk perokok berhenti merokok. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI