fbpx

Messi layak terima anugerah Ballon d’Or

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MESSI berjaya membantu Argentina menjuarai trofi Copa America Julai lepas dikatakan merupakan calon tunggal yang layak menerima Anugerah Ballon d’Or tahun ini. - AFP

MADRID – Penggempur utama Atletico Madrid, Luis Suarez percaya penyerang sensasi kelab Paris Saint-Germain (PSG), Lionel Messi merupakan calon tunggal yang layak menerima Anugerah Ballon d’Or, sekali gus diiktiraf sebagai pemain terbaik tahun ini.

Suarez yang pernah bergandingan dengan Messi ketika mewakili Barcelona sebelum ini percaya secara statistik, tiada pemain yang lebih sesuai me­nerima anugerah itu terutama selepas kejayaan Messi membantu Argentina menjuarai trofi Copa America, Julai lepas.

Kata Suarez, pemain berusia 34 tahun itu wajar dipilih untuk menjuarai Anugerah Ballon d’Or buat kali ketujuh dalam kariernya berdasarkan apa yang dilakukan ketika bersama La Albiceleste dan Barcelona musim lalu.

“Rekod di atas padang adalah jelas bahawa Messi tiada tandi­ngan dan layak untuk menerima Anugerah Ballon d’Or kerana bukan sahaja dia membantu Argentina menamatkan kejuaraan di pentas antarabangsa, malah dia juga muncul penjaring terbanyak di pentas La Liga musim lalu.

“Justeru, saya percaya kehebatan Messi tidak tercabar meskipun secara statistik, ada pemain lain yang berjaya menjaringkan lebih banyak gol berbanding dirinya tahun ini, namun anda harus lihat apa yang dilakukannya sepanjang karier dan tiada siapa boleh mencabar rekod tersebut,” katanya.

Perebutan Anugerah Ballon d’Or tahun ini nampak sengit dengan beberapa pemain lain turut berpotensi untuk menerima pengiktirafan tersebut seperti Karim Benzema (Real Madrid/Perancis), Robert Lewandowski (Bayern Munich/Poland), Cristiano Ronaldo (Manchester United/Portugal) dan Jorginho (Chelsea/Itali).

Namun, peningkatan prestasi tonggak utama Liverpool, Mohamed Salah sejak awal musim ini menyaksikan pemain antarabangsa Mesir itu turut menjadi antara yang berpotensi untuk menjuarai trofi itu pada hari penganugerahan yang dijadualkan berlangsung 29 November depan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI