fbpx

Didik anak perbualan sensitif setaraf usia mereka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIYANA membacakan buku What If? yang dihiasi pelbagai ilustrasi menarik dan sesuai ditelaah bersama kanak-kanak.

PORTAL keibubapaan tempatan, makchic.com (makchic) bersama rakan rasmi percetakannya, Canon Marketing Malaysia baru-baru ini melancarkan buku berjudul What If? yang merupakan naskhah terbitan pertama portal tersebut.

Buku kanak-kanak itu ditulis oleh penulis Kimberly Lee dan Liyana Taff, manakala ilustrasinya oleh Delia Razak.

Buku bergambar dan berima ini menerangkan topik-topik penting mengenai penjagaan keselamatan diri dan batasan tubuh untuk kanak-kanak yang berumur tiga hingga lapan tahun.

Dengan pelbagai karakter tempatan yang menarik diiringi oleh ilustrasi yang cantik, buku ini membantu ibu bapa dan pendidik membincangkan topik-topik sensitif mengenai keselamatan diri kepada kanak-kanak.

Menurut laporan Action to End Child Sexual Abuse and Exploitation oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), satu daripada lapan kanak-kanak di dunia bersamaan 12.7 peratus telah didera secara seksual sebelum mencapai umur 18 tahun.

UNICEF juga mendapati bahawa kanak-kanak yang lebih muda adalah lebih cenderung untuk didera oleh ahli keluarga atau penjaga.

Di Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merekodkan 2,040 kes penderaan kanak-kanak dalam empat bulan pertama tahun ini dengan hampir 30 peratus daripadanya melibatkan insiden penderaan fizikal dan seksual.

Jumlah kes begitu tinggi ini membuatkan ramai ibu bapa bimbang mengenai keselamatan anak-anak mereka.

Sebagai sebuah portal keibubapaan, makchic telah menerima banyak pertanyaan daripada pembacanya mengenai cara-cara mendidik kanak- kanak berhubung kemahiran menjaga keselamatan diri. Ini membuatkan portal itu memutuskan untuk menulis dan menerbitkan What If?

Kimberly yang merupakan peguam, ibu dan Editor Pengurusan makchic berkata, buku itu terhasil berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pengikut-pengikut portal itu.

“Dalam usaha kami menyokong keluarga untuk membesarkan anak-anak dengan baik, makchic sering mengadakan sesi perkongsian di media sosial untuk membolehkan para pengikut berkongsi buah fikiran dan pengalaman mereka mengenai sesuatu topik.

“Satu sesi yang kami jalankan mengenai gangguan seksual pada 2019 mendedahkan bahawa 78 peratus daripada pengikut kami yang mengambil bahagian pernah mengalami gangguan seksual.
Malangnya, kebanyakan mereka alaminya semasa mereka masih kanak-kanak. Inilah sebabnya kami berpendapat penting untuk memulakan perbincangan mengenai keizinan, batasan tubuh dan sentuhan yang selamat serta tidak selamat dari peringkat awal.

“Kanak-kanak hari ini membesar dalam dunia yang semakin berbahaya dan perlu menyedari hak dan autonomi diri mereka sendiri sejak usia muda. What If? direka untuk membantu ibu bapa dan pendidik mengendalikan perbualan sedemikian menerusi cara yang sesuai dengan usia anak-anak,” ujar Kimberly.


KIMBERLY yang merupakan seorang ibu dan peguam adalah salah seorang penulis What If?

Pengarah Projek Khas makchic yang juga seorang ibu, Liyana berkata, kandungan buku tersebut adalah berlandaskan Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang kerangka untuk keselamatan diri.

“Kami juga bekerjasama dengan pendidik dan pejuang hak kanak-kanak yang berpengalaman, Thency Gunasekaran untuk memastikan kandungan buku ini sesuai dan relevan dengan masyarakat tempatan,” kata Liyana.

Menerima sentuhan ilustrasi oleh pelukis tempatan, Delia, buku What if? menampilkan karakter-karakter tempatan dari pelbagai latar belakang dan menampilkan mesej-mesej yang mudah difahami mengenai prinsip keselamatan diri melalui pelbagai senario berbeza.
Ketua Pegawai Eksekutif makchic, Najmin Tajudin berkata, buku tersebut pada masa ini dikeluarkan dalam bahasa Inggeris.

“Buat masa ini, buku ini hanya diterbitkan dalam bahasa Inggeris. Kami ingin berkongsi buku ini dengan seramai mungkin kanak-kanak di Malaysia. Kejayaan versi bahasa Inggeris ini akan membolehkan kami menerbitkan buku ini dalam bahasa-bahasa lain untuk mendidik dan melindungi kanak-kanak daripada penderaan seksual yang boleh dielakkan,” jelas Najmin.

Sebagai rakan rasmi percetakan, Canon menyokong penghasilan buku ini sebagai sebahagian daripada Canon Young Readers Programme untuk memupuk tabiat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

Ketua Komunikasi Korporat Canon Marketing Malaysia, Grace Ong berkata, bagi tahun kedua program tersebut, jenama penyelesaian pengimejan digital ini memfokuskan terhadap penyelesaian pelbagai isu berkaitan kanak-kanak.

“Mungkin ia tampak mudah, namun sebagai ibu, saya memahami kepentingan mendidik kanak-kanak dari peringkat awal tentang batasan dan keselamatan diri, dan cara-cara untuk mempraktikkannya.

“Berpandukan falsafah korporat kami iaitu Kyosei, kami percaya adalah penting untuk menyumbang semula kepada komuniti,” kata Grace.
Buku berharga RM39.90 ini boleh didapati di LazMall Store makchic dan beberapa kedai buku terpilih.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI