fbpx

17 pengarah syarikat seleweng geran MITRA ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian suspek tiba di Kompleks Mahkamah Putrajaya hari ini bagi proses permohonan reman.

PUTRAJAYA – Seramai 17 orang pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan geran peruntukan yang dikeluarkan oleh Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) lewat malam tadi.

Kesemua mereka yang berusia 24 hingga 68 tahun yang terdiri daripada 16 lelaki dan seorang wanita ditahan dalam satu operasi besar-besaran di sekitar Lembah Klang yang dilakukan bermula petang semalam.

Menurut sumber, dianggarkan puluhan juta ringgit telah dilesapkan oleh kumpulan itu yang pada asalnya memohon geran peruntukan MITRA bagi melaksanakan program-program sosio-ekonomi masyarakat India di Malaysia.

“Siasatan kes ini akan merangkumi semua bentuk permohonan dan perbelanjaan peruntukan geran yang telah disalurkan oleh MITRA bermula tahun 2018 hingga kini.

“Kita menganggarkan hampir 60 peratus daripada peruntukan geran yang diterima daripada syarikat, orang perseorangan dan yayasan bagi tujuan program pembangunan sosio-ekonomi tidak sampai kepada kumpulan sasaran.

“Peruntukan ini dipohon daripada MITRA dan kemudiannya diselewengkan untuk kepentingan individu tertentu. Tiada program dibuat dan tiada pernyataan perbelanjaan dapat dikemukakan oleh pihak berkuasa,” katanya.

MITRA distruktur semula pada 2018 ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri sebelum diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara pada April 2020 hingga kini dengan bajet berjumlah RM100 juta setahun.

Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi untuk proses reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

“Seramai 15 individu telah direman manakala dua lagi dibebaskan dengan jaminan masing-masing RM8,000 seorang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan tangkapan dan memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI