fbpx

Salah bikin United terkulai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

MANCHESTER – Mohamed Salah menjaringkan hatrik, manakala Paul Pogba dilayangkan kad merah dalam perlawanan menyaksikan Liverpool memalukan Manchester United 5-0 di Stadium Old Trafford sebentar tadi.

Empat daripada lima gol The Reds dijaringkan dengan klinikal pada separuh masa pertama sekali gus menyaksikan betapa goyahnya benteng pertahanan selain tumpulnya jentera serangan skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer.

Pada perlawanan itu, Naby Keita meletakkan Liverpool di depan menerusi gol pembukaan pada minit kelima hasil hantaran baik Salah sebelum Diogo Jota menyempurnakan hantaran lintang untuk gol kedua pada minit ke-13.

Salah menjaringkan gol pertama daripada hatriknya menerusi rembatan dalam kotak penalti sekali gus gol ke-10 peribadi dalam 10 aksi berturut-turut dan penyerang antarabangsa Mesir itu sekali lagi menambah derita United dengan gol ke-4 sebelum tamat babak pertama.

Para penyokong The Red Devils mula mencemuh pasukan sendiri pada masa rehat dan situasi bertambah buruk sebaik sahaja separuh masa kedua dimulakan apabila Salah akhirnya menjaringkan hatrik hasil umpanan bijak kapten The Reds, Jordan Henderson pada minit ke-50.

Cristiano Ronaldo hampir menceriakan sedikit penyokong tuan rumah dengan gol saguhati, namun jaringan tersebut dibatalkan selepas video bantuan pengadil (VAR) mendapati legenda United itu berada dalam keadaan offside.

Pogba yang dimasukkan pada separuh masa kedua melengkapkan hari malang United apabila dibuang padang selepas melakukan terjahan dengan dua kaki ke atas Keita pada minit ke-60. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI