fbpx

Potong bekalan elektrik untuk patahkan kegiatan judi online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara individu yang ditahan polis ketika serbuan pada 21 Oktober lalu.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil tindakan memotong bekalan elektrik di sebuah premis judi online di Jalan Lebuh Pudu, dekat sini hari ini sebagai usaha mematahkan kegiatan itu.

Tindakan itu dilakukan pukul 3 petang susulan daripada serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, pemotongan bekalan elektrik dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289).

“Mana-mana premis yang diputuskan bekalan tidak boleh disambungkan kepada premis itu oleh pihak pembekal atau pemegang lesen tanpa kebenaran bertulis daripada pegawai polis.

“Pemilik premis juga perlu mendapatkan kelulusan Ketua Polis Daerah untuk penyambungan semula,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu pada 21 Oktober lalu pukul 7 malam, seramai 17 individu termasuk dua warga asing yang juga penjaga premis ditahan.

Menurutnya, semasa serbuan kesemua 15 pelanggan itu sedang bermain judi secara online menggunakan komputer riba dan telefon bimbit.

“Polis turut merampas sembilan komputer riba, 11 pelbagai peralatan komputer, telefon bimbit dan wang tunai RM664,” ujarnya.

Jelasnya, kesemua yang ditahan berusia 24 hingga 61 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan diambil tindakan tuduh di mahkamah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI