fbpx
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - FOTO FAISOL MUSTAFA

Hayati konsep Keluarga Malaysia- Sultan Nazrin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA- Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan kepada semua rakyat untuk terus menghayati konsep Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi titah istiadat mengucap selamat berangkat, Sultan Nazrin menitahkan bahawa perkataan keluarga mempunyai pelbagai konotasi antaranya saling membantu, saling menghormati serta saling bermaaf-maafan dalam suasana mesra dan berkasih sayang iaitu komponen yang melukiskan keharmonian.

“Semakin besar saiz keluarga, semakin kompleks cabaran yang dihadapi, kerana bilangan ahli keluarga yang ramai semestinya dikembari dengan suara yang semakin banyak, selera yang semakin rencam dan keperluan yang semakin pelbagai.

“Keluarga Malaysia ialah keluarga yang besar. Menjadi ketua kepada sebuah keluarga besar memerlukan kesabaran, keupayaan, tumpuan dan kegigihan untuk melaksanakan seadil-adil perimbangan kepada seluruh ahli keluarga secara bijaksana,” titahnya di Dewan Seri Bendahara, Istana Negara tadi.

Titah baginda lagi,masyarakat Melayu turut mengutamakan ikatan persaudaraan dalam semangat kekeluargaan seperti yang terserlah dalam bidalan Melayu, ‘Biduk berlalu kiambang bertaut’, ‘Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga’, ‘Air dicencang tidakkan putus’.

“Semangat kekeluargaan turut membentuk budaya menghargai orang-orang terdahulu yang pernah berjasa, dan budaya tidak bersifat kacang lupakan kulit,” titahnya.

Dalam pada itu, baginda turut menyifatkan bermusyawarah dan bersyura merupakan tradisi dan amalan takhta dan kerajaan Raja-raja Melayu.

“Dalam semangat bermusyawarah dan bersyura itulah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong daripada masa ke masa mempersilakan kehadiran Raja-raja Melayu berangkat ke Istana Negara pada waktu baginda berhasrat mendapatkan nasihat dan pandangan.

“Apatah lagi jika sesuatu urusan itu boleh menyentuh kuasa Raja Pemerintah di negeri, dengan kesedaran bahawa Yang di-Pertuan Agong itu secara harfiahnya bermaksud ‘Dia Yang Terulung Di Kalangan Kami’ iaitu, ‘primus inter pares’. Baginda bersemayam di takhta kerajaan persekutuan, mewakili Raja-Raja Melayu,” titahnya. -K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN