JOHOR BAHRU – Sebanyak 14 sekatan jalan raya (SJR) di negeri ini akan terus dikekalkan biarpun Johor sudah mengalami peralihan Fasa 3 kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, SJR itu dikekalkan bagi pengoperasian Op Benteng yang dibuat di beberapa lokasi terpilih di sekitar negeri ini.
Katanya, 14 SJR itu adalah bertujuan untuk pemantauan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diadakan secara bersepadu dengan beberapa agensi penguatkuasaan lain.
“Kita masih mengekalkan SJR yang berkaitan dengan Op Benteng sahaja iaitu sebanyak 14 SJR di lokasi yang ditetapkan.
“Bagi SJR yang ditempatkan di kawasan sempadan sebelum ini sudah tidak ada, kita sudah tarik balik,” katanya kepada pemberita hari ini. -K! ONLINE














