fbpx

Sharifah Rose, ‘kayu sudah lembut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SHARIFAH ROSE

MEKAR mewangi bak namanya, itulah Sharifah Rose. Jika dahulu dihujani kata-kata sinis daripada netizen, kini kehadirannya bagaikan sedang diraikan selepas mempersembahkan kerja lakonan yang semakin menyedapkan mata khalayak.

Tanpa berselindung, pucuk muda berusia 23 tahun itu juga mengakui menghadapi kesukaran untuk mengalirkan air mata setiap kali menjayakan babak sedih.

Menjadi dambaan, bukan mudah untuk penulis mendapatkan slot temu bual dengan si cantik yang mesra disapa sebagai Rose ini. Sibuknya bukan kepalang, mengalahkan perdana menteri.

Masakan tidak, setiap hari jadual terlalu padat dengan penggambaran naskhah Kekasih Hati Mr. Bodyguard dek mengejar tarikh tayangan setiap minggu.

Sharifah Rose seindah bunda di taman sari, namun menyebut namanya sahaja, pasti ingatan ramai terhadap segala ‘aduan’ netizen mengenai mutu lakonannya kaku sehingga disamakan dengan pokok dan kayu menerjah ke ingatan.

Tidak melenting mahupun mencetuskan amarah dalam media sosial, pemilik nama penuh Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira, 23, berlapang dada menerima segala kritikan yang dilempar kepadanya.

SHARIFAH ROSE tidak menganggap ratusan ribu pengikut Instagram sebagai jalan pintas, sebaliknya menjadi tanggungjawab besar yang perlu dijaga. – ihsan TS HABIBTI

Kayu sudah lembut

Sebelum pergi jauh, sempat juga platform media sosialnya disemak, seperti dijangka, tiada kritikan dan kata-kata tentang ‘kayu’nya jadi bahan jenaka.

Kini dia dipuji apabila ekspresi ‘kayunya’ sebelum ini semakin lentur, emosi yang dilontarkan juga telah meresap ke dada penonton.

Lumrah manusia, apabila dikecam pastilah hati terusik dengan kata-kata pedas netizen dan begitulah juga yang dirasai aktres berdarah kacukan Arab-Melayu ini.

“Ramai gelar saya si kayu, si pokok dan si kaku semasa awal kemunculan drama Kekasih Hati Mr. Bodyguard. Macam-macam panggilan yang muncul ketika itu.

“Tipulah jika tidak terasa atau kecil hati dengan gelaran tersebut tetapi sebagai pendatang baru, saya muhasabah hati dan lihat semula kekurangan diri.

“Kini, tiada gentar lagi dalam diri,” katanya yang memulakan kerjaya sebagai model fesyen Muslimah sebelum bergelar pelakon.

Perlahan-lahan mendaki, akui Rose, antara cabaran paling besar yang dihadapi sepanjang bergelar pelakon ialah menukar emosi dan mood dengan pantas.

Tambah pelakon drama Kisah Cinta Rumi itu, babak menangis bukan satu hal yang mudah untuk dilunaskan bagi seorang pendatang baharu sepertinya.

“Dengar seperti mudah tetapi susah sebenarnya untuk saya yang masih baru.

“Lebih sukar ialah babak yang memerlukan saya menangis. Susah nak mencetuskan emosi sedih secara tiba-tiba. Terhuyung-hayang jugalah pada mulanya sebab watak Hana Aralyn agak berat.

MENYIFATKAN dirinya sebagai seorang yang berani, Rose terbuka untuk menyahut tawaran
watak-watak yang lebih berat dan mencabar bagi menyerlahkan
keupayaan lakonannya.

“Sampaikan ketika awal dahulu, hendak menangis pun terpaksa guna bantuan kecemasan iaitu minyak angin dan ubat titis mata untuk percepatkan aliran air mata. Lucu bila ingat semula tetapi itulah pengalaman berharga,” ujarnya.

Kini, Rose sudah boleh mengalirkan air mata tanpa sebarang bantuan daripada produk mahupun asakan orang.

“Inilah yang dikatakan belajar daripada pengalaman. Sekarang saya sudah boleh menangis sendiri dan tugas menukar mood menjadi lebih mudah.

“Semuanya hasil bantuan pelakon lain seperti Redza Rosli dan Lisdawati serta kru-kru drama ini,” tutur anak sulung daripada dua beradik itu.

Semakin menyedari tuntutan karier sebagai pelakon bukan kerja mudah, Rose bercadang untuk menyertai kelas lakonan dengan lebih agresif usai tamat penggambaran drama Kekasih Hati Mr Bodyguard sekitar akhir bulan ini.

“Selepas habis drama ini, memang ada perancangan untuk sertai mana-mana kelas lakonan, baiki apa yang kurang dalam lakonan,” ujarnya yang memasang impian untuk memegang lebih banyak watak yang berat kelak.

SEMAKIN menyerlahkan prestasi lakonan cemerlang, Rose percaya pujian yang diterimanya hari ini berkat kesungguhan dan tunjuk ajar pelakon senior terhadapnya.

Pengikut vs tanggungjawab

Beralih ke arah isu jumlah pengikut Instagram yang menjadi kelebihan kepada banyak pendatang baharu, Rose mempunyai pendapat tersendiri.

Jumlah pengikut bukan bonus kepada seorang artis, Rose menyifat situasi tersebut sebagai satu tanggungjawab besar untuk dipikulnya.

“Ya, memang beri kelebihan tetapi apa yang saya nampak, semakin ramai pengikut, semakin besar tanggungjawab yang dipikul.

“Mana tidaknya, jika sudah ramai mengenali, semakin besar ruang dan banyak kritikan diterima tetapi itulah yang perlu dibayar apabila bergelar artis.

“Apa pun, untuk memiliki jumlah pengikut yang ramai bukan hal yang mudah. Saya juga bermula dari bawah sebagai model, pensohor media sosial dan barulah pelakon. Semuanya datang daripada usaha,” jelasnya.

Enggan mengejar populariti segera, anak kelahiran Selangor itu bertegas tidak mahu dikenali menerusi kisah panas atau tidak tidak bermoral, jauh sekali sengaja mencetuskan kontroversi sebagai tiket segera untuk popular.

“Mencetuskan kontroversi untuk populariti bukan prinsip saya.

“Bukan juga taktik saya tetapi mungkin itu cara artis lain untuk naikkan nama mereka. Setiap orang ada cara masing-masing.

“Tidak mengapalah lambat naik atau populariti agak perlahan, asalkan lipatan kerjaya saya tidak tercemar,” ujarnya mengakhiri perbualan.

AKUI Rose, dia bukan individu yang memilih untuk mencetuskan kontroversi demi meraih perhatian khalayak.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI