fbpx
Gambar hiasan.

Pengumuman pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Pengoperasian institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bagi Johor dan Terengganu mengikut ketetapan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan bermula pada 7 November depan.

KPM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri pada 22 Oktober lalu berkaitan peralihan fasa PPN bagi Johor dan Terengganu ke Fasa 4 PPN berkuat kuasa esok.

Katanya, KPM telah menetapkan bahawa jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut.

“Ini bermakna pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi Johor dan Terengganu mengikut ketetapan Fasa 4 PPN akan bermula pada 7 November 2021.

“Sehubungan dengan itu, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi negeri Johor dan Terengganu terus beroperasi berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN esok,” katanya hari ini.

Menurutnya, pengoperasian Fasa 3 PPN itu melibatkan murid prasekolah, murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional dan Program Pendidikan Khas Integrasi dan tingkatan 6 semester 2.

Katanya, turut terlibat ialah Prauniversiti Sekolah Sukan Malaysia, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya/sekolah harian/sekolah swasta, International Baccalaureate Diploma, serta kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level dan IBD) dan kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

“Bermula 7 November 2021, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM di Johor dan Terengganu adalah mengikut ketetapan pengoperasian Fasa 4 PPN.

“Namun, sekolah kerajaan bawah KPM di negeri Johor dan Terengganu hanya akan memulakan operasinya pada 8 November 2021 kerana 7 November 2021 adalah cuti tambahan yang diperuntukkan dalam takwim KPM sempena perayaan Deepavali,” katanya.

Ujarnya, ia turut melibatkan kemasukan bagi murid Tahap 1 (tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah serta murid tingkatan 3 dan 4 sekolah menengah.

Bagaimanapun, katanya, institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM beroperasi mengikut takwim masing-masing.

“Kehadiran murid Tahap 2 (tahun 4, 5 dan 6) sekolah rendah serta kelas peralihan, tingkatan 1 dan 2 sekolah menengah bagi Johor dan Terengganu akan bermula pada 14 November 2021, iaitu seminggu selepas negeri-negeri tersebut memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN,” katanya.

Institusi pendidikan bawah KPM turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

“KPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri,” katanya. – K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN