PETALING JAYA – Kewujudan pelbagai platform e-dagang sama ada dari dalam mahupun luar negara mendorong wujudnya peniaga-peniaga ‘penipu’ yang menjual barang-barang tiruan daripada jenama terkenal.
Tidak hanya menjanjikan ketulenan produk berkenaan, para peniaga ini turut menawarkan diskaun dan harga yang jauh lebih murah berbanding harga di kedai.
Modus operandi yang digunakan oleh pihak berkenaan adalah mempamerkan produk-produk dari jenama terkemuka dan popular meliputi seluar, baju, beg tangan, barang elektrik, gajet telefon dan aksesori kenderaan.
Seorang pekerja swasta dikenali sebagai Ismail, 37, mendakwa, dia telah beberapa kali mengalami kerugian hampir ratusan ringgit gara-gara terbeli barangan tiruan dari sebuah platform e-dagang terkemuka.
Katanya, barang pertama yang dibeli adalah sepasang kasut sukan berharga RM200 dari sebuah syarikat yang berpengkalan di luar negara.
“Biasanya kasut berkenaan kalau dibeli di butik, harganya mencecah RM600. Pada mulanya, saya kurang percaya apabila peniaga berkenaan meletakkan harga RM200, namun selepas membaca keterangan dan promosi yang diberikan, saya mula tertarik.
“Lagipun, sekali imbas, gambar dan video yang disertakan benar-benar menunjukkan ketulenan produk kasut mereka, namun selepas barangan itu sampai, ia indah khabar daripada rupa,” katanya.
Bagi Khairul Anwar, 27, pula, dia mengakui kecewa apabila gajet fon telinga yang dibelinya daripada platform e-dagang terkenal rupa-rupanya barangan tiruan.
“Jika dilihat di laman web rasmi jenama fon kepala tersebut, harga asalnya mencecah RM1,000. Saya teruja apabila ternampak seorang peniaga mengiklankan fon telinga itu pada harga RM250 sahaja.
“Apabila berhubung dengan peniaga itu melalui Direct Message, dia menjelaskan harga fon kepala itu ditawarkan sangat rendah kerana mereka sedang membuat jualan penghabisan stok dan pihaknya memberi jaminan bahawa fon telinga tersebut merupakan produk tulen,” katanya.
Khairul berkata, dia juga dijanjikan jaminan selama setahun dan produk itu boleh dibawa ke pusat servis sekiranya mengalami sebarang kerosakan.
“Bagaimanapun, selepas satu bulan menggunakan fon telinga itu, ia mengalami kerosakan sebelum saya bawa fon kepala itu ke pusat servis jenama fon telinga tersebut yang terletak di ibu kota.
“Di sana, saya dimaklumkan bahawa pihak pusat servis itu tidak boleh membaiki fon telinga itu kerana ia bukan produk tulen. Saya yang terkejut dengan maklumat itu terus menghubungi peniaga berkenaan tetapi kecewa kerana mereka kini telah menyekat saya,” katanya.
Dalam pada itu, perkara sama turut menimpa seorang lagi pengguna Mohd. Zuhair Wafi, 28, yang tertipu dengan seorang peniaga apabila membeli aksesori video di Facebook.
“Pada mulanya saya ternampak iklan berkenaan gimbal di laman Facebook. Iklan itu cukup menarik minat saya dan di dalam iklan tersebut juga ada dinyatakan pelanggan hanya perlu membuat bayaran sebaik sahaja produk itu sampai.
“Tawaran itu lagi menambah minat mahu membeli, jadi saya terus menempah produk berkenaan yang difahamkan dari China. Selepas seminggu, produk itu sampai dan terus membuat pembayaran kepada pihak kurier berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, perasaan pelik mula timbul kerana berdasarkan gambar yang dipaparkan di dalam iklan, produk itu bersaiz besar tetapi apa yang diterima olehnya ialah sebuah kotak bersaiz kecil.
“Walaupun berasa pelik, saya tetap membuat pembayaran kepada pihak kurier, tetapi alangkah terkejutnya apabila membuka bungkusan itu saya hanya menerima sebuah monopod, bukan gimbal seperti yang diiklankan.
“Dengan perasaan kecewa, saya hubungi peniaga berkenaan dan bertanyakan kenapa saya menerima monopod bukan gimbal seperti yang ditempah. Tetapi malangnya, bukan sahaja aduan saya tidak dilayan, malah saya turut disekat daripada Page berkenaan,” ujarnya.














