JAKARTA – Gara-gara tidak tahan dengan sikap sering marah dan menjengkelkan jiran, seorang wanita bertekad untuk menjual rumahnya dan berpindah dari kediaman tersebut, lapor laman berita Suara.com.
Menerusi satu pendedahan yang dibuat di Twitter, seorang gadis mendedahkan bahawa kisah tersebut berlaku kepada ibu saudaranya yang mempunyai seorang jiran yang menjengkelkan.
“Ini merupakan kisah jiran kepada ibu saudara saya.
“Jiran di sebelah rumahnya sering memarahi ibu saudara saya setiap kali dia (ibu saudara) membetulkan sesuatu di rumahnya seperti sambungan internet tanpa wayar (WiFi) atau bumbung rumah, padahal ia bukan berlaku dengan kerap,” demikian luahan wanita itu.
Tambahnya lagi, ibu saudaranya itu bersama sepupunya baru-baru ini turut bertengkar dengan jirannya itu kerana sudah terlalu penat dimarahi individu tersebut yang bersikap amat menjengkelkan.
Selepas diselidik, ternyata jirannya itu sememangnya mempunyai sikap menjengkelkan sejak dari dahulu lagi.
Bahkan bekas pemilik rumah yang kini didiami si ibu saudara itu turut menjual rumah tersebut kerana tidak tahan akan sikap buruk jirannya.
Netizen yang membaca kisah wanita tersebut kemudiannya meninggalkan pelbagai reaksi dan komen.
“Jika sudah sikapnya begitu, tiada cara lain kecuali berpindah,” demikian kata seorang netizen.
“Diamkan sahaja sehingga jiran itu penat sendiri. Mungkin marah-marah sebanyak tiga kali sehari itu sudah menjadi rutinnya,” balas seorang netizen lain. – AGENSI
 
								
 
								 
											













 
														
