KUALA LUMPUR – Modus operandi sebuah sindiket pengedaran dadah menjadikan residensi mewah sebagai stor penyimpanan dadah terbongkar dengan penahanan seorang lelaki tempatan, di Jalan Bukit Palma 2, Kajang, dekat sini Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo berkata, berdasarkan hasil risikan, pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) memberkas lelaki berusia 31 tahun itu menerusi serbuan pada pukul 1.30 petang.
“Pemeriksaan dalam beg galas dibawa suspek menjumpai bungkusan plastik bertulis teh cina yang didalamnya mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 1.05 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM36,000.
“Hasil soal siasat ke atas suspek, polis kemudiannya membuat serbuan di sebuah unit lain di residensi sama dan menjumpai dadah jenis Methamphetamine dan Heroin di salah sebuah bilik seberat 11.17 yang dianggarkan bernilai RM219,600,” ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), dekat sini hari ini.
Menurutnya, susulan penemuan itu polis sekali lagi menyerbu sebuah residensi mewah di Taman Teknologi Mint, Bangi, Selangor dan sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Taming Jaya Balakong, Seri Kembangan pada hari yang sama.
Jelas beliau, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.17 juta dan keseluruhan nilai rampasan termasuk sitaan berjumlah RM1.23 juta.
“Hasil siasatan polis mendapati sindiket berkenaan menyewa beberapa premis kediaman mewah sebagai tempat penyimpanan dadah dan baru disewa selama dua bulan dengan kadar bayaran antara RM1,200 hingga RM1,800 sebulan,” ujarnya.
Jelasnya, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) dan suspek direman selama tujuh hari bermula Rabu lalu hingga Selasa depan. – K! ONLINE