fbpx

Pengusaha kilang proses makanan didakwa guna logo halal tanpa perakuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Teoh Sue Guat keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar selepas prosiding pertuduhan menggunakan logo halal tanpa perakuan pada produk makanan, Jun lalu.

KUALA KANGSAR – Seorang wanita warga emas yang juga pemilik sebuah syarikat pemprosesan makanan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menggunakan logo halal tanpa perakuan pada Jun lalu.

Teoh Sue Guat, 71, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Dia didakwa menggunakan logo halal tanpa mendapat perakuan daripada Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) pada 26 bungkus kuetiaw goreng 500 gram (g) dan 11 bungkus mee tiaw 500g jenama cap Angsana.

Wanita itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di Angsana Kangsar, Kawasan Perindustrian Kuala Kangsar, Kuala Kangsar pada pukul 11 pagi 22 Jun 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang boleh dihukum di bawah Perintah 8(a) perintah yang sama.

Jika sabit kesalahan denda maksimum RM100,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan.

Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Mohd. Azrul Faidz Abdul Razak tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 23 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI