fbpx

Naratif Joe, Love ‘pasangan dari neraka’ dalam You 3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YOU 3 memaparkan kisah yang lebih mendebarkan apabila Joe mengahwini seorang wanita bernama Love yang juga mempunyai penyakit pelik sepertinya iaitu membunuh orang.

JOE Goldberg kembali ‘menggila’ menerusi siri psikologi thriller, You musim terbaharu.

Kali ini, umpama buku bertemu ruas, kisahnya yang mudah tertarik dengan ramai wanita, bermula sebagai seorang stalker (orang yang suka menghendap) dan kemudian menjadi pembunuh bersiri diperluaskan dengan naratif pasangan hidupnya, Love Quinn serta anak mereka, Henry.

Sebenarnya, ramai dalam kalangan peminat siri ini melahirkan keluhan. Sepatutnya penceritaan You sudah ditamatkan, namun ternyata musim ketiga membawa penonton terus ‘khayal’ menggali apa lagi kehancuran dan kejahatan yang akan dilunaskan karakter Joe lakonan Penn Badgley.

Bagaimana kehidupannya akan terus berjalan dengan perkongsian hidup bersama seorang wanita yang turut mempunyai hobi sama iaitu membunuh orang, Love (lakonan Victoria Pedretti).

Adakah Joe berjaya melupakan tabiat lamanya dan hidup seperti orang normal? Persoalan tersebut akan terjawab dalam musim ketiga ini.

Kualiti penceritaan

Buat penulis secara peribadi, You 3 terus mengekalkan momentum cemerlang mengapa siri tersebut bagaikan satu kecanduan yang tidak berpenghujung dan begitu popular dalam kalangan peminat.

Perkembangan karakter dan jalan cerita, aspek teknikal iaitu efek bunyi dan sinematografi serta perkenalan karakter-karakter baharu dalam musim kali ini memang dilunaskan dengan baik sekali gus menjadikannya antara musim paling ‘digeruni’.

YOU 3 meneruskan kisah antara Joe dan Love dengan hidup baharu bersama anak mereka, Henry.

Joe dan Love boleh diibaratkan pasangan suami isteri dari neraka. Kelicikan, kekejaman dan hubungan asmara mereka memang membuatkan penonton tidak senang duduk dan menggeleng kepala.

Kualiti lakonan dan cetusan kimia yang ditinggalkan pemain watak tersebut iaitu Penn dan Victoria memang memberikan kesan yang mendalam.

Karakter baharu

Sejujurnya, dalam 10 episod musim kali ini, penulis merasakan, tiada satu pun episod dibazirkan dengan sia-sia. Itu tandanya, pengarah yang terlibat menjayakan musim kali ini menjalankan tugas mereka dengan cukup baik.

Pertambahan watak-watak baharu seperti Marienne, Theo, pasangan suami isteri Sherry dan Cary Conrad menjadikan musim kali ini lebih mengujakan. Sementelah, masing-masing berperanan meluaskan lagi jalan cerita sedia ada.

KEMUNCULAN watak baharu seperti Marienne Bellamy (kanan) lakonan Tati Gabrielle melengkapkan jalan cerita musim baharu siri You.

Perihal tersebut ternyata memberi dimensi baharu yang lebih menderaskan adrenalin penonton terutama dari aspek ‘plot twist’ (pusingan plot).

Penonton akan didedahkan bagaimana Joe dan Love berhubung kait dengan karakter-karakter disebutkan. Pada masa sama, memberi motivasi buat mereka terus hidup dengan ‘hobi’ yang sukar ditinggalkan iaitu membunuh orang dan memporak-perandakan kehidupan sendiri serta sekeliling.

Punca ‘penyakit’ Joe

Musim baharu kali ini turut membawa penonton pergi lebih dekat tentang kisah sebenar bagaimana Joe boleh terperangkap dengan tabiat buruknya iaitu suka membunuh demi mencapai matlamat sendiri.

Ada sesuatu yang berlaku pada lelaki itu ketika kecil yang merangsang minatnya menjadi obses terhadap seseorang dan cenderung berakhir dengan pertumpahan darah.

You 3 turut mencanang isu rumah tangga yang sentiasa terlepas pandang dalam kalangan kebanyakan pasangan suami isteri.

JOE pernah berdepan sesuatu sehingga menjadi punca yang mengubahnya menjadi seorang pembunuh.

Konklusi penulis, tiada kehidupan rumah tangga yang berkekalan dan diserikan bibit-bibit bahagia sahaja. Setiap hubungan ada turun naiknya dan itulah asam garam kehidupan.

Penonton boleh melihat usaha yang ditonjolkan sama ada Joe dan Love menyelamatkan rumah tangga mereka.

Bagaimanapun, usaha tersebut acap kali tidak bertemu titik persamaan sekali gus menggagalkan apa yang boleh diselamatkan.

Pun begitu, tidak dinafikan sejahat dan sekejam mana pun pasangan tersebut, mereka tetap ibu bapa yang baik terhadap anak mereka, Henry. Paling penting, realiti harus ditelan bahawa (sedikit spoiler) salah seorang daripada mereka terpaksa ‘berkorban’ pada penghujung cerita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI