fbpx
Rakaman video dan gambar yang diambil penduduk berhubung kejadian bakar al-Quran di Tasik Taman Sri Impian, Kluang, Johor hari ini.

Individu tidak bertanggungjawab bakar al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG – Sepasang suami isteri kesal dengan tindakan individu yang tidak bertanggungjawab membakar kitab suci al-Quran dipercayai dilakukan ketika upacara keagamaan dalam kejadian di kawasan rekreasi Tasik Taman Sri Impian di sini hari ini.

Seorang penduduk, Syarifuddin Kasimin, 41, berkata, ketika kejadian pada pukul 7.45 pagi itu, dia dan isterinya sedang berjoging melalui kawasan riadah berkenaan sebelum ternampak kepulan asap seperti sampah terbakar.

“Kami keluar berjoging dalam pukul 7 pagi dan melalui kawasan riadah Tasik Taman Sri Impian untuk berehat seketika tetapi saya ternampak ada kepulan asap seperti sampah terbakar.

“Saya dan isteri menghampiri objek itu dan buat pemeriksaan mendapati benda yang terbakar itu adalah senaskah al-Quran yang dibakar oleh individu tidak bertanggungjawab.

“Kami terkejut dan kesal dengan tindakan mereka yang dilihat seolah-olah mempersendakan agama, kami tidak mahu tuduh siapa yang buat, takut nanti lain pula jadinya kalau bab-bab agama ini,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Syarifuddin yang bertugas sebagai Inspektor Penjara itu berkata, dia serta beberapa orang awam lain bertindak mengutip cebisan al-Quran itu dan mengumpulkannya dalam satu plastik sebelum dibawa ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.

Jelasnya, penduduk sekitar berharap pihak berkuasa khususnya Jabatan Agama Islam tampil melakukan siasatan berhubung kejadian ini bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingin berlaku.

“Ini kejadian pertama berlaku di sini setahu saya lah, kami harap pihak berkuasa cepat melakukan siasatan dan pantau kawasan ini, kemungkinan akan berlaku lagi,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyiasat kejadian itu dengan mengarahkan Pejabat Kadi Daerah mengambil tindakan selanjutnya.

“Saya sudah hantar laporan ini kepada Pejabat Kadi Daerah untuk diambil tindakan, sehingga kini saya masih menunggu laporan dan akan memaklumkan hasil siasatan dalam masa terdekat,”katanya.-K! ONLINE

POPULAR