KOTA BHARU – Kelantan menjadi negeri pertama yang akan membangunkan Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) di negara ini yang dibina dengan kos RM74 juta.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) itu dibangunkan di tanah seluas lebih 80 hektar di Sungai Bagan, Machang di sini.
Menurutnya, objektif projek itu adalah untuk mengumpulkan semua pengusaha produk-produk pembinaan terutamanya yang berkaitan IBS dan teknologi muncul (emerging technologies).
“Projek ini akan bermula dalam masa terdekat dan ia mengambil masa selama 24 bulan untuk siap. Taman Perindustrian IBS ini sekali gus dapat meningkatkan kapasiti dan keupayaan industri pembinaan di Pantai Timur.
“Melalui pusat ini, ia akan memperkukuhkan jaringan ekosistem IBS seterusnya dapat meningkatkan bilangan penggiat industri terutamanya dalam kalangan Bumiputera selain usahawan kecil dan sederhana di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan CIDB di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini. – K! ONLINE.