IPOH – Pasar Karat Loken atau Memory Lane atau lebih dikenali sebagai yang terletak di tengah-tengah bandar Ipoh kembali dikunjungi peminat-peminatnya setelah dibenarkan beroperasi bermula hari ini.
Lokasi menjual segala jenis barang khususnya perkakasan antik dan terpakai ini turut dikenali dalam kalangan warga setempat sebagai tempat melayan nostalgia orang-orang Ipoh.
Disebabkan pematuhan pada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19, cuma kira-kira 30 peratus sahaja peniaga dibenarkan di mana kebanyakannya adalah penjual barangan antik dan terpakai termasuk buku-buku.
Bagaimana pun, ia tetap menggembirakan pengunjung setempat yang sememangnya menjadikan Pasar Loken sebagai tempat persinggahan hujung minggu.
Tinjauan ke bazar tersebut mendapati, keadaan terkawal selain para pengunjung dan peniaga mematuhi SOP selain beberapa petugas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) ditempatkan di situ.
Salah seorang pengunjung, Isnin Ahmad Razali, 46, berkata, dia kerap berkunjung ke situ bukan untuk membeli tetapi melihat-melihat jika ada barang-barang yang berkenan.
“Uniknya Pasar Loken ini ialah menjual barang-barang antic dan sukar dicari seperti pemetik api, buku-buku teks masa kita zaman sekolah dulu dan bermacam lagi.
“Ini memang port (tempat) orang-orang Ipoh,” ujarnya.
Bagi Mohamad Faiz Nazrin, 38, pembukaan bazar ini kembali memberi rezeki kepada para peniaga tambahan pula orang ramai kini boleh rentas negeri.
“Cuma kita sendiri kenalah menjaga keselamatan diri, jangan bersesak serta ikut arahan yang ditetapkan.
“Sebagai pengunjung tegar Pasar Loken semestinya saya gembira tambahan pula pengunjung luar yang datang ke Ipoh pun boleh singgah di sini kerana ia salah satu tempat yang mesti dikunjungi,” ujarnya. – K! ONLINE.














